Pembinaan ART jejaskan ketenteraman warga emas di Stutong Indah

Facebook
WhatsApp
LAI memberitahu Michael Kong bahawa bunyi bising daripada kerja-kerja pembinaan mengganggu tidur ibu bapanya yang sudah lanjut usia.

KUCHING, 17 November: Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Michael Kong Feng Nian, menggesa Sarawak Metro mengambil tindakan menangani gangguan bunyi bising dan gegaran akibat kerja-kerja pembinaan Transit Aliran Autonomi (ART) yang menjejaskan penduduk di Taman Stutong Indah.

Kong berkata beliau baru-baru ini telah mengunjungi seorang penduduk, Lai, yang telah menetap di kawasan perumahan itu selama hampir 20 tahun dan kini berdepan kesukaran menikmati ketenteraman di rumah bersama ibu bapanya yang masing-masing berusia lebih 70 tahun akibat kerja-kerja pembinaan yang dijalankan betul-betul bersebelahan kediaman mereka.

Katanya, sebelum kerja-kerja pembinaan dimulakan, Sarawak Metro telah bersetuju bahawa semua aktiviti pembinaan akan dihentikan pada 6.30 petang bagi mengurangkan gangguan dan membolehkan penduduk berehat dengan selesa.

Bagaimanapun, waktu kerja yang dipersetujui itu berulang kali tidak dipatuhi apabila kerja-kerja pembinaan diteruskan sehingga 9.00 malam atau 10.00 malam.

Operasi jentera berat di satu lagi lokasi kira-kira 50 meter dari situ juga dilaporkan berterusan sehingga tengah malam.

Kong berkata bunyi bising dan gegaran yang berpanjangan telah menyebabkan gangguan ketara kepada keluarga berkenaan, khususnya ibu bapa warga emas yang memerlukan rehat secukupnya.

Beliau menambah bahawa walaupun Lai telah membangkitkan perkara itu kepada Sarawak Metro dan dijanjikan pemasangan penghadang bunyi, langkah yang dilaksanakan didapati tidak berkesan kerana bunyi bising daripada kerja-kerja pembinaan masih mengganggu penghuni rumah berkenaan.

Beliau mempersoalkan tujuan pihak berkenaan membuat janji kepada penduduk sekiranya komitmen tersebut tidak ditunaikan dan langkah yang diambil gagal menyelesaikan masalah.

Kong berkata gangguan itu bukan sekadar menyusahkan penduduk, malah menjejaskan keupayaan mereka untuk berehat dengan selesa dan menikmati ketenteraman di rumah sendiri.

Memandangkan kerja-kerja pembinaan baru-baru ini dihentikan selama sebulan, beliau menggesa Sarawak Metro menggunakan tempoh tersebut untuk menilai semula keberkesanan penghadang bunyi sedia ada serta melaksanakan langkah yang lebih berkesan bagi mengurangkan gangguan bunyi bising dan gegaran.

Beliau turut menggesa Sarawak Metro bertanggungjawab terhadap kontraktor yang dilantik dan memastikan waktu kerja yang telah dipersetujui dipatuhi sepenuhnya apabila kerja-kerja pembinaan disambung semula.

Oleh Connie Chieng