PAK hulur sumbangan alat tulis, suntik semangat calon SPM SMK Kabong

Facebook
WhatsApp
NOR-E Fadwie Salleh menyampaikan sumbangan alat tulis kepada pelajar Tingkatan Lima yang bakal menduduki peperiksaan SPM di SMK Kabong. Foto PAK

KABONG, 17 November: Keprihatinan Persatuan Anak Kabong (PAK) terhadap kecemerlangan pendidikan dizahirkan menerusi penyerahan sumbangan alat tulis kepada pelajar Tingkatan Lima yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kabong, hari ini.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Timbalan Pengerusi PAK, Nor-E Fadwie Salleh, sebagai tanda sokongan kepada calon SPM dalam membuat persediaan menghadapi peperiksaan itu.

Inisiatif berkenaan bukan sahaja bertujuan membantu memenuhi keperluan persekolahan pelajar, malah menjadi tanda sokongan masyarakat terhadap usaha mereka mencapai kecemerlangan dalam akademik.

Nor-E berkata, sumbangan itu diharap dapat meringankan beban pelajar selain menyuntik semangat mereka untuk memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap persediaan menghadapi peperiksaan.

“Gunakanlah sumbangan ini sebaik mungkin sebagai salah satu persediaan menghadapi SPM.

“Kami berharap semua calon terus berusaha, berdisiplin dan tidak mudah berputus asa dalam mengejar kejayaan,” katanya.

Beliau turut berharap agar para pelajar memanfaatkan peluang pendidikan yang ada dengan sebaik-baiknya serta menjadikan sokongan masyarakat sebagai dorongan untuk memperoleh keputusan yang membanggakan.

Usaha PAK itu mencerminkan peranan penting persatuan masyarakat dalam menyokong institusi pendidikan, khususnya menerusi inisiatif yang dapat memberi manfaat kepada golongan pelajar.

Turut hadir ialah Pengetua SMK Kabong, Ismail Mohamad.

Oleh Adi Safarman