NEW YORK, 16 November: Anggaplah beliau sebagai sinar mentari. Penyanyi dan penulis lagu dari England, Raye mendahului senarai pencalonan Anugerah Grammy 2027 dengan 11 pencalonan, menurut pengumuman Akademi Rakaman pada Isnin, lapor The Associated Press (AP).
Raye tercalon dalam 11 kategori bagi majlis anugerah yang akan berlangsung pada Februari, termasuk rakaman terbaik, lagu terbaik dan album terbaik tahun ini. Ini merupakan kali pertama beliau dicalonkan dalam ketiga-tiga kategori utama berkenaan, selain kategori penulis lagu terbaik tahun ini (bukan klasik), beberapa kategori muzik pop dan video muzik.
Sebanyak 11 pencalonan itu turut menyaksikan beliau menyamai rekod Beyonce pada Grammy 2025 sebagai artis wanita dengan pencalonan terbanyak dalam satu tahun.
Bercakap mengenai Beyonce, penyanyi itu terus mengekalkan kedudukannya sebagai artis paling banyak menerima pencalonan dalam sejarah Grammy apabila meraih pencalonan ke-100 menerusi lagu “Morning Dew (Donk)” dalam kategori persembahan solo R&B.
Raye, yang sedang menikmati kejayaan menerusi album mendapat pujian pengkritik berjudul “This Music May Contain Hope”, kini mengumpul 15 pencalonan Grammy sepanjang kerjayanya. Bagaimanapun, beliau masih belum pernah memenangi anugerah itu, meskipun sebelum ini menerima pengiktirafan Akademi Rakaman menerusi Anugerah Harry Belafonte bagi Lagu Terbaik untuk Perubahan Sosial, yang bukan berasaskan pertandingan.
Sementara itu, penyanyi Sepanyol, Rosalia, yang baru sahaja memenangi kategori album terbaik pada Anugerah Grammy Latin Tahunan ke-27 pada Khamis menerusi album avant-garde “Lux”, menyusuli Raye dengan sembilan pencalonan.
Beliau merupakan calon buat kali pertama dalam kesemua kategori yang disertainya, iaitu rakaman terbaik, lagu terbaik dan album terbaik tahun ini, selain persembahan solo pop, persembahan muzik alternatif, album muzik alternatif, lagu Latin, persembahan muzik global dan video muzik.
Menyusuli mereka ialah Miranda Lambert, Olivia Rodrigo, Phoebe Bridgers dan calon kali pertama Ella Langley yang masing-masing memperoleh tujuh pencalonan.
Bruno Mars, Leon Thomas dan pemenang Artis Baharu Terbaik 2026, Olivia Dean pula masing-masing menerima enam pencalonan.
Selain album “This Music May Contain Hope” nyanyian Raye dan “Lux” oleh Rosalía, kategori album terbaik tahun ini turut menampilkan album “Lost Weekend” oleh Bridgers, “The Art of Loving” oleh Dean, “Dandelion” oleh Langley, “The Romantic” oleh Mars, “You Seem Pretty Sad for a Girl So in Love” oleh Rodrigo serta “The Life of a Showgirl” oleh Taylor Swift.
Pencalonan Swift menjadikan album studio kelimanya secara berturut-turut tercalon dalam kategori album terbaik tahun ini, satu pencapaian yang hanya pernah diraih seorang lagi artis, Kendrick Lamar.
Hanya rakaman yang dilancarkan secara komersial di Amerika Syarikat (AS) antara 31 Ogos 2025 hingga 28 Ogos 2026 layak dipertimbangkan bagi pencalonan. Pusingan akhir pengundian Grammy yang menentukan pemenang akan berlangsung dari 10 Dis hingga 7 Januari.
Kategori rakaman terbaik tahun ini menampilkan lagu “Man I Need” oleh Dean, “Choosin’ Texas” oleh Langley, “I Just Might” oleh Mars, “Where Is My Husband!” oleh Raye, “The Cure” oleh Rodrigo, “Berghain” oleh Rosalia yang menampilkan Bjork dan Yves Tumor, “The Fate of Ophelia” oleh Swift serta “Dracula” oleh Tame Impala dan Jennie.
Jennie, yang lebih dikenali sebagai antara anggota kumpulan wanita popular Blackpink, turut menerima pencalonan Grammy buat kali pertama pada 2027.
Tahun lalu, rakan sekumpulannya, Rose, menjadi artis K-pop pertama yang menerima pencalonan dalam kategori rakaman terbaik tahun ini menerusi lagu popular “APT.”, hasil kolaborasinya bersama Mars. Pencalonan Jennie menerusi “Dracula” menjadikannya artis K-pop kedua mencapai pencapaian itu.
Kategori lagu terbaik tahun ini, yang mengiktiraf penulis lagu dan ada kalanya turut melibatkan penyanyi, menampilkan hampir senarai yang sama dengan kategori rakaman terbaik tahun ini, termasuk lagu daripada Dean, Langley, Raye, Rodrigo dan Rosalia.
Bagaimanapun, kategori itu turut menampilkan lagu “Hate That I Made You Love Me” oleh Ariana Grande, lagu “I Knew It, I Knew You” nyanyian Swift daripada filem “Toy Story 5” serta “Risk It All” oleh Mars.
Bagi kategori artis baharu terbaik, Langley, Angine de Poitrine, Geese, Slayyyter, Sienna Spiro, Don Toliver, Remi Wolf dan The Womack Sisters akan bersaing.
“Menjadi satu penghormatan untuk mengucapkan tahniah kepada semua penggiat muzik hebat yang menerima pengiktirafan menerusi pencalonan Grammy tahun ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Rakaman Harvey Mason Jr. dalam satu kenyataan.
“Daripada calon kali pertama hingga artis yang mencapai kejayaan penting dalam kerjaya mereka, amat membanggakan apabila melihat pemuzik pada setiap peringkat kerjaya mendapat pengiktirafan. Mereka bersama-sama mencerminkan kepelbagaian luar biasa dari segi genre, kemahiran dan latar belakang yang membentuk komuniti kami. Kami menantikan musim sambutan yang cukup istimewa dan berterima kasih kepada Ahli Pengundi atas komitmen berterusan mereka dalam menghargai muzik yang menyentuh hati kita setiap tahun,” katanya.
Terdapat beberapa lagi artis yang menerima pencalonan buat kali pertama tahun ini, termasuk Geese, Tinashe, Slayyyter, Angine de Poitrine, Ryan Castro, Milo J, Megan Moroney dan John Cale.
Cale pernah menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat daripada Akademi Rakaman bagi pihak kumpulannya, The Velvet Underground, pada 2017, namun tidak pernah menerima pencalonan Grammy sebelum ini.
Anugerah Grammy 2027 akan disiarkan secara langsung pada 7 Februari, 7 malam waktu Timur, menerusi ABC buat kali pertama sejak 1972, dari Crypto.com Arena di Los Angeles. Majlis itu turut boleh distrim menerusi Disney+ dan Hulu. – Bernama-AP





