Persiapan MTL, Borneonisasi tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR, 17 November: Persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) serta status pelaksanaan dasar Borneonisasi di Sabah dan Sarawak antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menerusi Aturan Urusan Mesyuarat di laman web Parlimen, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan kesiapsiagaan kerajaan menghadapi monsun itu.

Langkah itu bagi memastikan tidak berulang isu seperti kekurangan bekalan makanan, jurang kualiti barangan bantuan dan keletihan petugas di pusat pemindahan sementara (PPS).

Datuk Siti Aminah Aching (GRS-Beaufort) pula meminta Perdana Menteri menyatakan status pelaksanaan Borneonisasi meliputi peratusan pengisian jawatan profesional dan pengurusan oleh anak tempatan di Sabah dan Sarawak, selain langkah memastikan ketelusan penempatan serta peluang kenaikan pangkat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sementara itu, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) meminta Menteri Kerja Raya menyatakan sama ada kementerian bercadang memberi keutamaan segera untuk menaik taraf Jalan Utama Palong (FT44) dari Seksyen 0.00 hingga Seksyen 9.0, memandangkan laluan yang sering meragut nyawa itu merupakan sambungan kepada jajaran yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Pada sesi soal jawab lisan pula, Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) membangkitkan soalan kepada Menteri Kewangan mengenai kesediaan kerajaan memperluas kategori barangan yang layak dibeli menerusi kredit Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Turut menjadi tumpuan ialah soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang meminta Menteri Komunikasi memperincikan strategi kerajaan membendung peningkatan kandungan video palsu berteknologi tinggi (deepfake) dan berita sintetik menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi tujuan penipuan identiti serta manipulasi maklumat.

Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) pula meminta Menteri Komunikasi menyatakan langkah strategik membanteras kecurian kabel telekomunikasi melibatkan penyamaran sebagai petugas penyelenggaraan, termasuk tindakan bersepadu bagi mengelak ancaman keselamatan dan risiko kemalangan kepada orang awam.

Selesai sesi soal jawab lisan, Dewan Rakyat dijadual menyambung semula perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2027) pada peringkat jawatankuasa, disusuli sesi penggulungan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Mengikut takwim Dewan Rakyat, perbahasan Belanjawan 2027 peringkat jawatankuasa dijadual berlangsung hingga 26 November ini, melibatkan baki 16 kementerian lagi untuk menggulung perbahasan portfolio masing-masing.

Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-15 berlangsung selama 37 hari hingga 8 Disember ini. – Bernama