RM48.19 juta bina jalan Temong, Tepoi dan Sadir, 3,000 penduduk bakal menikmati manfaat

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Sempena Perasmian Projek di Dewan Serbaguna Kampung Temong Mawang. Foto Douglas Uggah Embas Official

TEBEDU, 16 November: Lebih 3,000 penduduk dari tujuh kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu bakal menikmati kemudahan perhubungan yang lebih baik menerusi pelaksanaan Projek Pembinaan Jalan Temong, Tepoi dan Sadir (Fasa 2) bernilai RM48.19 juta.

Projek berkenaan merupakan antara usaha berterusan kerajaan Sarawak untuk memperkukuh jaringan infrastruktur luar bandar, sekali gus meningkatkan kemudahan perhubungan dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pembangunan infrastruktur jalan raya terus menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan penduduk luar bandar menikmati kemudahan perhubungan yang lebih baik.

Menurutnya, projek berkenaan melibatkan pembinaan jalan utama sepanjang 6.7 kilometer mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) R3, selain enam cabang jalan yang keseluruhannya sepanjang 0.73 kilometer mengikut piawaian JKR R2.

Jajaran jalan itu menghubungkan tujuh kampung iaitu Kampung Temong, Kampung Mura, Kampung Putah, Kampung Temong Bengan, Kampung Darul Fallah, Kampung Darul Huda dan Kampung Tepoi.

“Pembangunan infrastruktur perlu terus diperluas supaya penduduk luar bandar mendapat kemudahan perhubungan yang lebih baik.

“Ini penting untuk memudahkan pergerakan masyarakat serta menyokong kegiatan ekonomi setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Sempena Perasmian Projek di Dewan Serbaguna Kampung Temong Mawang, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Uggah memaklumkan bahawa sebanyak 34 projek Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang dan akan dilaksanakan di kawasan DUN Tebedu dengan nilai keseluruhan RM1.263 bilion.

PROJEK berkenaan melibatkan pembinaan jalan utama sepanjang 6.7 kilometer mengikut piawaian JKR R3, selain enam cabang jalan dengan keseluruhan panjang 0.73 kilometer mengikut piawaian JKR R2. Foto Douglas Uggah Embas Official

Daripada jumlah itu, enam projek telah siap, 12 sedang dilaksanakan manakala 16 lagi berada pada peringkat prakontrak.

Menurutnya, pelaksanaan projek-projek berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh jaringan infrastruktur dan mempercepat pembangunan di kawasan Tebedu.

Selain pembangunan fizikal, kerajaan turut memberi perhatian kepada aspek pendidikan dan kebajikan rakyat menerusi pelbagai inisiatif.

Di Bahagian Serian, seramai 111 pelajar telah menerima manfaat Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), manakala 60,741 penerima telah menerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) sehingga Fasa Dua 2026.

Uggah berkata, pembangunan Sarawak bukan sahaja tertumpu kepada penyediaan infrastruktur, malah turut merangkumi usaha memperluas peluang pendidikan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan mahu memastikan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada pembangunan negeri, termasuk melalui peluang pendidikan tinggi dan bantuan kebajikan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat di Tebedu supaya terus memberikan sokongan kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-13 (PRN13) bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan.

“Banyak bukti pembangunan nyata telah dilaksanakan di bawah kerajaan GPS. Sokongan berterusan rakyat penting supaya usaha ini dapat diteruskan dan lebih banyak manfaat dapat dinikmati oleh masyarakat,” katanya.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir. Aidel Lariwoo; Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Martin Ben; penyandang kerusi DUN Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada; penyandang kerusi DUN Bukit Semuja, John Ilus; serta penyandang kerusi DUN Serembu, Dato Miro Simuh.

Oleh Adi Safarman