SIBU, 16 November: Kementerian Komunikasi akan menyediakan tiga pusat media di Kuching, Sibu dan Miri bagi membantu melancarkan tugasan pengamal media sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kemudahan itu disediakan bagi memastikan petugas media mempunyai ruang kerja yang selesa serta dilengkapi kemudahan asas untuk membuat liputan pilihan raya.
“Di bawah Jabatan Penerangan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), kita telah membuat keputusan untuk menyediakan tiga pusat media, masing-masing di Kuching, Sibu dan Miri,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini, hari ini.
Beliau berkata, pusat media berkenaan akan dilengkapi kemudahan internet, pencetak serta makanan bagi membolehkan pengamal media melaksanakan tugasan pelaporan dengan lebih selesa dan teratur.
Menurutnya, penyediaan kemudahan itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Penerangan (JAPEN) sebagai sebahagian daripada persiapan kementerian menghadapi PRN Sarawak.
Selain itu, Teo berkata, MCMC turut membuka akses kepada 156 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh Sarawak untuk kegunaan pengamal media sepanjang tempoh pilihan raya.
Katanya, kemudahan NADI menyediakan capaian internet berkelajuan sekurang-kurangnya 100 megabit sesaat (Mbps), sekali gus memberi alternatif kepada petugas media untuk menyiapkan dan menghantar bahan berita ketika membuat liputan di lapangan.
Daripada jumlah keseluruhan itu, enam pusat NADI terletak di Sibu, manakala selebihnya merangkumi kawasan lain termasuk kawasan pedalaman.
“Kita tahu Sarawak sangat luas. Jadi, saya percaya NADI juga boleh menjadi pusat sokongan kepada rakan-rakan media, khususnya mereka yang perlu membuat liputan di kawasan pedalaman,” katanya.
Beliau berharap penyediaan tiga pusat media dan akses kepada kemudahan NADI itu dapat melancarkan operasi media, khususnya dari aspek capaian internet dan penyediaan ruang kerja sepanjang PRN Sarawak.
Oleh Tarani Lanting




