Indonesia sedia laksana operasi modifikasi cuaca kurangkan risiko banjir di Sumatera

Facebook
WhatsApp
INDONESIA sedia laksana operasi modifikasi cuaca kurangkan risiko banjir di Sumatera. Foto janaan AI

JAKARTA, 16 November: Indonesia sedang membuat persediaan untuk melaksanakan operasi modifikasi cuaca di Sumatera Utara dan Aceh sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko banjir dan tanah runtuh susulan ramalan hujan lebat dalam beberapa hari akan datang.

Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Berton Panjaitan berkata 45 kecamatan di 11 kabupaten dan bandar di Sumatera Utara diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dari 16 hingga 19 November, manakala 360 lagi kecamatan berada dalam pemantauan.

Beliau berkata hujan lebat berserta ribut petir diramalkan melanda 19 kabupaten dan bandar di Sumatera Utara sepanjang tempoh itu. Sistem cuaca tropika yang sedang berkembang di selatan Sumatera juga boleh mencetuskan hujan lebat dan ombak tinggi di Aceh, Sumatera Utara serta Sumatera Barat.

“Sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan risiko bencana hidrometeorologi basah ketika kemuncak musim hujan di Sumatera Utara dan Aceh, kerajaan menerusi BNPB dan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) akan melaksanakan operasi modifikasi cuaca.

“Modifikasi cuaca bukan bermaksud menghentikan hujan sepenuhnya. Operasi ini bertujuan mengurangkan intensiti hujan. Secara ringkasnya, pengagihan semula hujan ini bertujuan mengurangkan hujan sederhana atau lebat kepada hujan ringan atau sederhana,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Berton berkata kerajaan juga berusaha mempercepat kerja pemulihan sungai di kawasan berisiko banjir, khususnya di Aceh, bagi melancarkan aliran air dan mengurangkan risiko banjir.

“Orang ramai dinasihatkan supaya terus berwaspada kerana mendapan sedimen masih terkumpul di sungai. Dasar sungai yang cetek boleh menyebabkan sungai melimpah walaupun ketika hujan ringan hingga sederhana. Keadaan ini juga menjadi antara punca banjir di beberapa kawasan di wilayah Aceh,” katanya. – Bernama