SARATOK, 16 November: Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan yang masing-masing berusia 42 dan 43 tahun di Kampung Melango, Saratok, hari ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian melepaskan tembakan di sebuah kedai kopi di Jalan Repok, Sarikei, pada 13 November lalu.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kedua-dua individu yang merupakan pasangan kekasih itu ditahan dalam satu operasi kira-kira 12.35 tengah hari.
Menurutnya, kejadian berkenaan dilaporkan oleh pemilik kedai kopi selepas terdengar tujuh kali bunyi kuat pada pintu besi premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat tujuh kesan yang dipercayai akibat tembakan pada pintu besi kedai berkenaan.
“Bagaimanapun, ketika pengadu keluar untuk memeriksa keadaan, tiada individu ditemui di luar premis,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, hasil siasatan susulan laporan polis yang diterima membawa kepada penahanan kedua-dua suspek di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Melango, Saratok.
Mengulas lanjut, DSP Mathew berkata, kedua-dua suspek dipercayai pergi ke Sarikei dengan menaiki bas pada 13 November lalu untuk menjual besi buruk.
“Siasatan mendapati kedua-dua suspek telah mendaftar masuk ke sebuah hotel di Sarikei pada hari kejadian menggunakan nama suspek wanita.
“Suspek lelaki mengaku keluar dari hotel untuk makan, manakala suspek wanita kekal berada di dalam bilik. Suspek lelaki kemudian kembali ke hotel kira-kira 2.30 pagi pada 14 November,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek turut mengakui bahawa individu yang kelihatan dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kaunter pendaftaran hotel berkenaan ialah mereka.
Bagaimanapun, hasil soal siasat awal mendapati kedua-dua suspek tidak mengaku terlibat dalam kes tembakan tersebut.
Polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan, termasuk sebuah beg berwarna hitam, sehelai baju kelabu, sehelai seluar jean panjang berwarna biru serta sebuah topi hitam berjenama Brooklyn 1947.
Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai lapan rekod lampau, manakala suspek wanita mempunyai satu rekod lampau. Kedua-duanya juga didapati negatif dalam ujian saringan air kencing.
DSP Mathew berkata, kedua-dua suspek telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Sarikei untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian serta menentukan penglibatan kedua-dua suspek dalam insiden berkenaan.
Oleh Adi Safarman




