SARIKEI, 16 November: Polis akan mengambil tindakan susulan terhadap kegiatan dipercayai lumba haram di jalan pintas Sentebu–Meruton, yang difahamkan masih belum dibuka secara rasmi untuk kegunaan orang awam.
Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei, Superintendan Aswandy Anis berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kegiatan tersebut selepas menerima pautan video yang tular di Facebook daripada pihak media hari ini.
“Terima kasih atas maklumat, untuk makluman tuan dan puan, pihak kami akan mengambil tindakan terhadap perkara ini.
“Saya difahamkan jalan ini belum lagi dibuka untuk kegunaan awam,” katanya ketika memberikan maklum balas kepada media.
Terdahulu, satu hantaran Facebook memaparkan beberapa motosikal berada di laluan berkenaan, dengan sejumlah individu dilihat berkumpul di bahu jalan.
Hantaran tersebut turut menyebut lokasi jalan pintas dari Sentebu ke Meruton yang didakwa belum dibuka kepada pengguna jalan raya.
Paparan video berkenaan menimbulkan persoalan mengenai penggunaan laluan yang masih belum dibuka, khususnya apabila terdapat dakwaan kegiatan lumba haram membabitkan penunggang motosikal.
Oleh Earl Anek




