SIMANGGANG, 16 November: Kehadiran seekor biawak bersaiz besar di kawasan tempat letak kereta sebuah rumah di Taman Sing-Sing, di sini, mencetuskan kebimbangan sebelum berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sri Aman kelmarin.
Menurut kenyataan APM Daerah Sri Aman, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang memaklumkan kehadiran reptilia berkenaan di kawasan rumah tersebut.
Susulan aduan itu, seramai tiga anggota APM digerakkan ke lokasi menggunakan kenderaan JMC Light Rescue Vehicle (LRV) Sri Aman bagi menjalankan operasi menangkap haiwan berkenaan.
Hasil tindakan pantas serta kemahiran anggota bertugas, biawak bersaiz besar yang dianggarkan sebesar peha orang dewasa itu berjaya ditangkap menggunakan teknik menjerut.
Operasi berkenaan berjaya diselesaikan dengan selamat tanpa sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan.
APM Daerah Sri Aman turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada anggota terlibat atas komitmen serta tindakan pantas dalam memberikan khidmat bantuan kepada masyarakat.
Orang ramai yang berdepan situasi kecemasan atau memerlukan bantuan APM boleh menghubungi talian 083-320973.
Oleh Adi Safarman



