MIRI, 16 November: Seorang anggota polis cedera ringan selepas kenderaan peronda polis (MPV) yang dipandunya hilang kawalan akibat tayar pecah dan meletup di Jalan Pan Borneo Miri-Bintulu, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata kejadian berlaku kira-kira 12.35 tengah hari ketika kenderaan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dalam perjalanan dari arah Miri menuju ke Bintulu.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kenderaan yang dipandu anggota berusia 42 tahun itu dipercayai hilang kawalan selepas tayarnya pecah dan meletup.
“Akibat kejadian itu, pemandu MPV berkenaan mengalami kecederaan ringan,” katanya menerusi satu kenyataan petang tadi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp Mohd Faizal Moktar menerusi talian 012-818 6509 atau 085-430479, atau mana-mana balai polis berhampiran.
Mohd Farhan turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mengamalkan pemanduan berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Oleh Liong Chai Ling





