JAKARTA, 16 November: Syarikat penerbangan nasional Indonesia, Garuda Indonesia akan meningkatkan kekerapan penerbangan bagi laluan Jakarta-Kuala Lumpur daripada tujuh kepada 11 penerbangan seminggu mulai Disember 2026 bagi memenuhi permintaan perjalanan yang semakin meningkat susulan pertambahan ketibaan pelancong Malaysia, lapor Xinhua.
Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Garuda Indonesia Dicky Irchamsyah pada Isnin berkata langkah itu susulan peningkatan jumlah ketibaan pelancong Malaysia ke Indonesia pada separuh pertama 2026, berdasarkan data Badan Pusat Statistik (BPS) Indonesia.
Garuda ketika ini mengendalikan penerbangan harian antara Jakarta dan Kuala Lumpur dan akan menambah empat perkhidmatan penerbangan pergi balik setiap minggu pada Isnin, Selasa, Rabu dan Sabtu mulai Disember.
Dicky berkata penerbangan tambahan itu bertujuan memenuhi keperluan penumpang bagi tujuan pelancongan, pelancongan perubatan dan urusan perniagaan dengan menawarkan lebih banyak pilihan waktu berlepas pada sebelah pagi dan petang.
Syarikat penerbangan itu menjangkakan peningkatan kekerapan penerbangan akan merancakkan pergerakan penumpang secara langsung antara Indonesia dan Malaysia, selain menarik lebih ramai pelawat antarabangsa yang ingin meneruskan perjalanan ke destinasi domestik di seluruh Indonesia menerusi rangkaian penerbangan Garuda. – Bernama




