PGA rampas 166,750 kilogram produk sejuk beku bernilai RM8.73 juta di Sarawak

Facebook
WhatsApp
KOMANDER Briged Sarawak PGA, SAC Datuk Lim Bak Phai.

KUCHING, 16 November: Kegiatan pengedaran produk makanan sejuk beku yang dipercayai diimport tanpa dokumen sah terbongkar menerusi Op Salju yang dilaksanakan Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) di beberapa lokasi di Sarawak.

Dalam operasi berkenaan, sebanyak 166,750 kilogram produk makanan sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM8.73 juta dirampas, selain 20 individu ditahan kerana disyaki tidak memiliki dokumen pengenalan diri atau permit kerja yang sah.

Komander Briged Sarawak PGA, SAC Datuk Lim Bak Phai berkata, operasi bersepadu itu dijalankan secara serentak pada 11 dan 13 November lalu dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, sebanyak lapan kejayaan direkodkan menerusi operasi di Kuching, Miri, Sibu, Padawan dan Bintulu.

Daripada jumlah individu yang ditahan, sembilan merupakan warga tempatan manakala 11 lagi warga asing.

Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai produk makanan sejuk beku yang dipercayai dibawa masuk dari luar negara tanpa dokumen import, sijil veterinar atau permit yang sah.

Pihak berkuasa turut mengesan penggunaan logo halal tanpa kebenaran.

Antara produk yang dirampas termasuk daging babi, daging lembu, ayam, sosej dan hasil laut.

SEBAHAGIAN produk makanan sejuk beku dan peralatan yang dirampas dalam operasi penguatkuasaan Op Salju di Kuching, Miri, Sibu, Padawan dan Bintulu.

Selain produk makanan sejuk beku, pihak berkuasa turut merampas 11 trak angkat susun, dua kontena, tujuh peti sejuk beku, sebuah lori serta pelbagai peralatan dan mesin pemotong daging.

Lim berkata, kesemua individu yang ditahan bersama barang rampasan telah diserahkan kepada agensi penguat kuasa berkaitan untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang, termasuk Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999, Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan 1999 serta Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika membeli produk makanan sejuk beku dengan memastikan produk berkenaan diperoleh daripada sumber yang sah, mempunyai pelabelan yang jelas serta mematuhi piawaian keselamatan makanan yang ditetapkan.

Pengguna juga digalakkan merujuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi mendapatkan maklumat dan pengesahan lanjut mengenai sumber bekalan, status serta keselamatan produk makanan berasaskan haiwan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan peniaga dan pengusaha supaya sentiasa mematuhi peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa dan tidak menyalahgunakan sijil atau logo halal tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Katanya, Briged Sarawak PGA akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bersama agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang, khususnya membabitkan produk makanan sejuk beku, demi melindungi keselamatan dan kepentingan pengguna.

Oleh Connie Chieng