KUALA LUMPUR, 16 November: Pelan Strategik Majlis Perubatan Malaysia (MPM) 2026-2030 dijangka memperkukuh standard amalan doktor dan pakar bagi meningkatkan kualiti rawatan serta keselamatan pesakit di semua fasiliti kesihatan negara.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pelan itu akan memastikan pengamal perubatan mematuhi piawaian tinggi, sekali gus meningkatkan hasil rawatan dan mengurangkan pertikaian perundangan berkaitan perkhidmatan perubatan.
Beliau berkata usaha itu melibatkan semua peringkat perkhidmatan kesihatan yang akan menentukan amalan para doktor dan pakar di setiap fasiliti.
“Kita akan meningkatkan dan memperkasakan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan di semua fasiliti bermula daripada perkhidmatan kesihatan sekunder, tertiar serta semua pusat kecemerlangan.
“Ini yang menjadi cita-cita besar dan plan strategik ini yang akan menurunkan segala amalan dalam perubatan di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pelan strategik itu di sini hari ini.
Dzulkefly berkata MPM sebagai badan pengawal selia utama amalan perubatan negara bertanggungjawab terhadap aspek pendaftaran, penetapan piawaian dan pemantauan amalan profesional pengamal perubatan.
Beliau berkata pelan strategik yang julung kali dibangunkan secara menyeluruh itu turut menetapkan hala tuju, visi, misi serta petunjuk prestasi utama (KPI) bagi memastikan setiap inisiatif dapat dilaksanakan dan dipantau secara teratur.
“Pendigitalan proses pendaftaran doktor dan pakar juga menjadi antara aspek yang diberi perhatian bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan MPM,” katanya.
Beliau berkata pindaan Akta Perubatan 1971 (Akta 50) 2024 serta peraturan berkaitan turut memberi ruang untuk memperkukuh proses pendaftaran doktor dan pakar selain diharap dapat membantu menangani cabaran sumber manusia dalam sektor kesihatan negara.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mahathar Abd Wahab berkata pelan itu bermatlamat memastikan amanah dan tanggungjawab MPM dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, cekap dan berkesan demi kepentingan pesakit bersandarkan dua teras.
Beliau yang juga Presiden MPM berkata teras pertama memberi tumpuan kepada fungsi pengawalseliaan teknikal bagi memastikan mutu pelaksanaan mandat MPM, manakala teras kedua merangkumi aspek tadbir urus, tatakelola dan perbendaharaan institusi bagi memastikan keupayaan MPM melaksanakan mandat itu. – Bernama





