Peruntukan RM10.615 juta naik taraf Lapangan Terbang Long Lellang

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 16 November: Kerajaan memperuntukkan RM10.615 juta bagi melaksanakan kerja penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan di Lapangan Terbang Long Lellang di Sarawak sebagai langkah memperkukuh keselamatan serta kesiapsiagaan operasi, susulan insiden pada September lepas.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata skop kerja melibatkan penurapan semula kawasan parkir pesawat dianggarkan bernilai RM1.2 juta, laluan pesawat (RM224,000), landasan (RM7.191 juta) dan pembinaan loji bancuhan mini (RM2 juta).

“Kerja penurapan ini dijangka bermula pada suku 2027 dan dijangka siap pada suku pertama 2028,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) mengenai tindakan kementerian bagi menambah baik pengurusan keselamatan dan respons kecemasan di kesemua Lapangan Terbang Berlepas dan Mendarat Jarak Pendek (STOLport) yang beroperasi di Sarawak susulan kejadian berkenaan.

Insiden helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas dan terbakar berhampiran STOLport Long Lellang pada 8 Sept lepas mengorbankan lima nyawa, termasuk empat petugas perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

Selain itu, Hasbi berkata sebuah kenderaan bomba Rapid Intervention Vehicle (RIV) bernilai RM1.2 juta juga akan dibekalkan bagi meningkatkan keupayaan tindak balas kecemasan di lapangan terbang itu.

Beliau berkata saiz dan keupayaan kenderaan berkenaan disesuaikan dengan keperluan perkhidmatan menyelamat dan memadam kebakaran di lapangan terbang kecil, manakala penempatan sebuah unit RIV sudah mencukupi serta memenuhi piawaian ditetapkan dalam Civil Aviation Directive 14.

Selain itu, Hasbi berkata Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) merancang menambah 15 petugas secara berperingkat bagi memperkukuh operasi dan keselamatan termasuk pengambilan seorang ketua lapangan terbang, dua juruteknik dan seorang petugas operasi yang dijadualkan pada Jun 2027.

Pengambilan tujuh anggota Perkhidmatan Menyelamat dan Memadam Kebakaran Penerbangan serta empat anggota keselamatan penerbangan pula dijadualkan pada Disember 2027.

Beliau berkata ketika ini Lapangan Terbang Long Lellang hanya mempunyai seorang anggota keselamatan penerbangan dan lima anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi melaksanakan fungsi keselamatan serta kecemasan.

Mengenai Lapangan Terbang Bebuling di Sarawak, Hasbi berkata infrastruktur lapangan terbang itu yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri telah siap dibina dan ujian penerbangan turut dijalankan.

“Bagaimanapun, kita belum menerima permohonan untuk mendapat pensijilan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan satu lagi yang dipanggil Aerodrome Operating License juga belum dipohon dan kita masih menunggu,” katanya.

Beliau berkata semua keperluan dan dokumen berkenaan perlu dipenuhi sebelum kelulusan diberikan, dengan standard keselamatan CAAM terpakai sama seperti lapangan terbang kecil yang lain.

Menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) mengenai tindakan susulan kemalangan helikopter di Long Lellang termasuk kemungkinan penggantungan operasi helikopter daripada model sama, Hasbi berkata helikopter tersebut memiliki perakuan pendaftaran dan perakuan kelayakan terbang yang sah dan disahkan layak terbang pada masa pelepasan.

“Siasatan masih diteruskan dan satu laporan muktamad berhubung kemalangan udara ini perlu disediakan dalam masa setahun, di mana semua peralatan, enjin dan sebagainya yang terbabit sudah pun dihantar ke makmal di luar negara,” katanya.

Hasbi berkata tiada penggantungan operasi dikenakan terhadap helikopter yang digunakan bagi FDS kerana pesawat berkenaan telah menjalani ujian kelayakan terbang oleh CAAM. – Bernama