SERIAN, 16 November: Seorang pemandu lori mengalami kerugian RM8,480 selepas menjadi mangsa penipuan jual beli kereta dalam talian membabitkan iklan palsu sebuah Perodua Bezza di Facebook.
Ketua Polis Daerah Serian, Superintendan Freddy Bian Stanislaus Bian berkata, mangsa pada mulanya tertarik dengan iklan yang menawarkan kereta berkenaan pada harga RM23,000 sebelum menghubungi seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai ejen jualan kereta.
Menurutnya, mangsa kemudian diminta menyerahkan beberapa dokumen peribadi serta membuat pembayaran secara berperingkat, kononnya bagi menampung kos penghantaran kenderaan, cukai jalan, insurans, pelepasan kastam dan urusan dokumentasi.
“Mangsa telah melakukan lima transaksi pembayaran ke lima akaun bank berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM8,480.
“Bagaimanapun, kenderaan yang dijanjikan tidak dihantar walaupun pembayaran telah dibuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Freddy berkata, mangsa kemudiannya diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM2,500 kononnya bagi urusan berkaitan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Bagaimanapun, mangsa enggan meneruskan pembayaran selepas mula mengesyaki dirinya telah ditipu.
Menurutnya, semakan awal polis mendapati beberapa akaun bank yang digunakan dalam transaksi berkenaan mempunyai rekod laporan polis terdahulu di daerah lain.
Selain itu, satu daripada nombor telefon yang digunakan turut mempunyai rekod laporan polis sebelum ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 424 Kanun Keseksaan, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terlibat serta mengesan wang yang telah dipindahkan,” katanya.
Sehubungan itu, Freddy menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terhadap identiti penjual, syarikat pengedar serta status pemilikan kenderaan sebelum melakukan sebarang urusan pembelian kereta secara dalam talian.
“Jangan mudah terpedaya dengan tawaran harga kenderaan yang terlalu rendah atau tidak munasabah.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya mengelakkan pemindahan wang ke akaun bank pihak ketiga dan berwaspada terhadap permintaan bayaran tambahan yang dibuat secara berperingkat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya berkongsi dokumen peribadi, termasuk kad pengenalan dan lesen memandu, dengan individu yang identitinya tidak dapat disahkan
Katanya, mana-mana individu yang menjadi mangsa penipuan perlu segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dan membuat laporan polis.
Freddy turut menasihatkan masyarakat supaya tidak terburu-buru membuat pembayaran hanya berdasarkan iklan atau janji yang ditawarkan melalui media sosial.
Beliau menegaskan bahawa semua urusan jual beli kenderaan perlu dilakukan melalui saluran yang sah dan boleh disahkan bagi mengelakkan orang ramai menjadi mangsa penipuan.
Oleh Connie Chieng




