99 projek pembangunan Persekutuan bernilai RM12 bilion di Sarawak, 35 dalam pembinaan

Facebook
WhatsApp
MENTERI Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi pada sidang media selepas majlis penyerahan projek Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Muara Tuang, hari ini. Foto Adele Rissa

KOTA SAMARAHAN, 16 November: Sebanyak 99 projek pembangunan fizikal Persekutuan bernilai RM12 bilion telah diluluskan di Sarawak, dengan 35 daripadanya bernilai RM5 bilion kini dalam pembinaan.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, projek bernilai RM50 juta dan ke bawah telah diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak untuk dilaksanakan, manakala projek selebihnya berada di bawah seliaan JKR Malaysia.

“Keseluruhan projek-projek fizikal pembangunan Persekutuan di Sarawak di bawah JKR Malaysia kini melibatkan sebanyak 99 projek.

“Kita kena faham, projek bernilai RM50 juta ke bawah telah pun diserahkan kepada JKR Sarawak untuk mereka laksanakan, manakala projek di bawah JKR Malaysia melibatkan nilai kerja sebanyak RM12 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan projek Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Muara Tuang, di sini, hari ini.

Menurutnya, kementerian turut memberi perhatian terhadap usaha memperkukuh kapasiti teknikal bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan berjalan lancar.

Katanya, antara perkara yang dikenal pasti sebelum ini ialah kekurangan tenaga kerja teknikal, termasuk jurutera, yang boleh menjejaskan kelancaran pelaksanaan projek.

“Pada awal 2025, kita mengadakan kerjasama antara JKR Sarawak, JKR Malaysia dan Kementerian Kerja Raya di Sarawak untuk mengenal pasti kelemahan serta perkara yang perlu dipertingkatkan.

“Apabila kita memaklumkan mengenai kekurangan kapasiti teknikal, mereka telah mengambil beberapa ratus tenaga kerja teknikal,” ujarnya.

Nanta berkata, aspek pengukuran tanah juga penting dalam pelaksanaan projek kerana kontraktor tidak dapat memulakan kerja di tapak sekiranya urusan berkenaan belum diselesaikan.

Menurutnya, kementerian akan terus memberi perhatian terhadap penambahbaikan kapasiti teknikal dan penyelarasan antara agensi bagi memastikan projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Oleh Adele Rissa