MUKAH, 16 November: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) memainkan peranan penting sebagai penggerak perpaduan masyarakat di peringkat akar umbi melalui pelaksanaan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kebajikan dan keselamatan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, KRT bukan sekadar organisasi komuniti, sebaliknya menjadi platform penting dalam menyatukan masyarakat berbilang kaum dan latar belakang.
Menurutnya, keberkesanan sesebuah KRT tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah aktiviti yang dianjurkan semata-mata, tetapi juga melalui keupayaannya memperkukuh hubungan masyarakat dan mewujudkan persekitaran yang selamat serta harmoni.

“KRT merupakan wadah penting yang menyatukan masyarakat melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kebajikan, keselamatan dan pembangunan sosioekonomi setempat.
“Kejayaan sesebuah KRT tidak diukur berdasarkan jumlah aktiviti yang dilaksanakan tetapi melalui keupayaan menyatukan masyarakat serta mewujudkan persekitaran selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Malam Semarak Perpaduan KRT Bahagian Mukah 2026 di sebuah resort di sini, semalam.
Majlis anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) itu menghimpunkan pengerusi serta ahli jawatankuasa KRT dari seluruh Bahagian Mukah.
Dalam pada itu, Fatimah berkata, kehadiran masyarakat daripada pelbagai kaum, agama dan budaya pada majlis berkenaan mencerminkan keunikan serta keistimewaan kepelbagaian masyarakat Sarawak.
Menurutnya, kepelbagaian tersebut merupakan kekuatan utama dalam membina perpaduan yang kukuh, sekali gus menjadi asas kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara.
“Kepelbagaian inilah yang menjadi kekuatan utama dalam membina perpaduan yang kukuh, sekali gus menjadi asas kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan usaha memupuk nilai perpaduan dan penghayatan prinsip Rukun Negara dalam kalangan generasi muda bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.
“Ini penting supaya keharmonian yang dinikmati dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
“Sarawak telah membuktikan kepelbagaian bukan penghalang kepada perpaduan, malah menjadi kekuatan menyatukan masyarakat,” katanya.
Oleh Adibfahmy




