SARIKEI, 16 November: Pengorbanan anggota polis dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam menjadi asas penting kepada kesejahteraan masyarakat serta kelancaran aktiviti harian dan ekonomi.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, keamanan yang dinikmati masyarakat hari ini tidak dapat dipisahkan daripada komitmen anggota polis yang sentiasa mengutamakan keselamatan rakyat.
Katanya, tugas kepolisan menuntut pengorbanan masa, tenaga dan keselesaan peribadi, termasuk ketika anggota berdepan pelbagai cabaran sepanjang menjalankan tanggungjawab.
“Sebagai wakil rakyat Sarikei, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga polis atas peranan penting dalam menjamin keselamatan dan keamanan Sarikei.
“Keamanan yang kita nikmati hari ini membolehkan rakyat menjalani kehidupan harian dengan tenang, peniaga berniaga dengan selesa, dan anak-anak pergi ke sekolah dengan selamat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sanjungan Budi, Lambaian Kasih anjuran Kelab Polis Sarikei, di Dewan SMK St Anthony kelmarin.

Pada majlis tersebut, Huang turut menyumbangkan RM10,000 sebagai tanda sokongan dan penghargaan terhadap warga polis Sarikei
Tambahnya, peranan pasukan polis bukan sekadar melaksanakan penguatkuasaan undang-undang, malah memastikan masyarakat dapat menjalani kehidupan dalam suasana aman dan selamat.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada anggota polis yang bakal bersara serta mereka yang akan berpindah ke formasi lain selepas menabur bakti sepanjang tempoh perkhidmatan.
“Setiap perkhidmatan yang dicurahkan lebih daripada menjalankan tugas, malah merupakan satu amanah yang dipikul dengan penuh dedikasi, disiplin dan tanggungjawab.
“Bagi mereka yang akan bersara, hari ini ialah penutup kepada satu perjalanan yang panjang dan bermakna.
“Bagi mereka yang berpindah, ini merupakan permulaan kepada satu tanggungjawab yang baharu,” katanya.
Katanya, majlis penghargaan seumpama itu penting bagi mengenang jasa anggota yang telah berkhidmat, selain mengiktiraf pengorbanan mereka sepanjang melaksanakan tugas.
Dalam pada itu, Huang turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepimpinan dan sokongan kerajaan Sarawak terhadap aspek keselamatan rakyat serta kebajikan anggota polis.
Katanya, sokongan berterusan kerajaan Sarawak membantu pasukan polis melaksanakan tanggungjawab dengan lebih yakin dan berkesan demi kepentingan masyarakat.
Beliau turut berharap hubungan erat antara pasukan polis dengan masyarakat dapat terus diperkukuh bagi memastikan keamanan dan keharmonian Sarikei sentiasa terpelihara.
“Kepada anggota yang berpindah ke formasi lain, saya berharap anda semua diberikan kejayaan dalam tugas baharu, dan jangan lupa bahawa Sarikei sentiasa mengenang jasa tuan-tuan dan puan-puan,” katanya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab; Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei, Superintenden Aswandy Anis; Ketua Polis Daerah (KPD) Julau, Deputi Superitenden Rowney Michael Jalak; Ketua Polis Daerah (KPD) Song, Deputi Superintenden Benedict Faris Jimoy dan Pengetua Cemerlang SMK St Anthony, Vincent Liong Shou Chuan.
Oleh Earl Anek




