Penternak ayam Bukit Saban digalak hasilkan makanan ternakan sendiri kurangkan kos operasi

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas menghadiri Majlis Penamatan Kursus Persatuan Penternakan Ayam Bukit Saban. Foto Douglas Uggah Embas Official

SPAOH, 15 November: Penternak ayam di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban digalakkan meneroka kaedah menghasilkan makanan ternakan sendiri dengan kos lebih rendah bagi mengurangkan perbelanjaan operasi, sekali gus meningkatkan daya saing industri penternakan ayam kacukan tempatan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kos makanan ternakan merupakan antara komponen utama yang mempengaruhi perbelanjaan dan kelangsungan perusahaan penternakan ayam.

Menurut beliau, penternak perlu lebih kreatif dan terbuka untuk mencuba pendekatan baharu, termasuk mengenal pasti bahan alternatif yang sesuai bagi menghasilkan makanan ayam sendiri.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan penternak menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pertanian Bahagian Betong bagi mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan teknikal berkaitan kaedah penghasilan makanan ternakan.

“Penternak perlu berani mencuba pendekatan baharu dan lebih kreatif dalam menguruskan perusahaan masing-masing.

“Kita perlu mencari kaedah yang dapat membantu menghasilkan makanan ayam sendiri dengan kos yang lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penamatan Kursus Persatuan Penternakan Ayam Bukit Saban di sini, semalam.

Uggah yang juga penyandang Kerusi DUN Bukit Saban berkata, kerjasama erat dengan agensi berkaitan penting bagi membantu penternak meningkatkan pengetahuan, mendapatkan kepakaran serta menambah baik pengurusan perusahaan masing-masing.

“Jika kita dapat mengurangkan kos makanan ternakan, beban perbelanjaan penternak juga dapat dikurangkan.

“Sebab itu, saya menggalakkan mereka bekerjasama rapat dengan Jabatan Pertanian untuk meneroka peluang dan kaedah yang bersesuaian,” katanya.

Kursus berkenaan dianjurkan secara bersama oleh Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Bahagian Betong dan Persatuan Penternakan Ayam Bukit Saban.

Penganjuran kursus itu bertujuan memberikan pendedahan, meningkatkan pengetahuan serta memperkukuh kemahiran peserta dalam bidang penternakan ayam, selain membuka peluang untuk mengembangkan industri ternakan tempatan dan menjana pendapatan tambahan kepada masyarakat.

Uggah berharap ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang kursus dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh peserta bagi menambah baik amalan penternakan masing-masing.

Beliau turut berharap peserta dapat meneroka peluang mengembangkan perusahaan secara lebih terancang dan mampan bagi meningkatkan hasil serta pendapatan dalam jangka panjang.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu.

Oleh Adi Safarman