Bomba sambung operasi hari kedua, pastikan api Rumah Anyie Matop padam sepenuhnya

Facebook
WhatsApp
OPERASI pemadaman kebakaran di Rumah Panjang Anyie Matop, Paku, Spaoh diteruskan memasuki hari kedua hari ini. Foto PGO Bomba Sarawak

SPAOH, 15 November: Operasi pemadaman kebakaran di Rumah Panjang Anyie Matop, Paku, Spaoh diteruskan pada hari kedua hari ini bagi memastikan api dipadamkan sepenuhnya selepas kebakaran besar memusnahkan kira-kira 95 peratus struktur rumah panjang berkenaan.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) memaklumkan, seramai lapan anggota Pasukan Alpha dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong digerakkan semula ke lokasi kejadian pagi tadi untuk meneruskan kerja-kerja pemadaman.

Operasi hari kedua itu menggunakan dua aliran sepanjang 600 kaki dengan tiga nozel yang disambungkan kepada pam pili bomba bagi memastikan saki-baki kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.

Menurut PGO JBPM, operasi pada hari pertama melibatkan anggota BBP Betong dengan bantuan BBP Saratok serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Betong dan Spaoh.

Kebakaran yang dilaporkan pada 5.14 petang semalam itu melibatkan sebuah rumah panjang berstruktur tidak kekal yang mempunyai 28 pintu.

Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada 5.34 petang, manakala kebakaran berjaya dikawal pada 9.35 malam sebelum operasi ditamatkan pada 9.25 pagi hari ini.

Bagaimanapun, kerja-kerja pemadaman disambung semula hari ini bagi memastikan tiada lagi sisa bara yang berpotensi mencetuskan kebakaran berulang.

JBPM memaklumkan, struktur binaan rumah panjang yang tidak kekal serta keadaan cuaca berangin menjadi antara faktor yang menyebabkan api merebak dengan pantas, sekali gus menyukarkan usaha pemadaman.

Secara keseluruhan, seramai 20 anggota bomba terlibat dalam operasi berkenaan dengan kekuatan dua Jentera Penyelamat dan Pemadam Kebakaran (FRT), dua kenderaan Perkhidmatan Perubatan dan Penyelamatan Kecemasan (EMRS), sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah lori tangki air.

Kebakaran itu menjejaskan seramai 66 penghuni rumah panjang berkenaan, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Operasi turut mendapat kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan (RELA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta PBS Betong dan Spaoh.

Sementara itu, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Oleh Adi Safarman