MIRI, 15 November: Seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun ditahan polis selepas kereta dipandunya dipercayai merempuh sebuah kereta dan motosikal dalam kemalangan di Jalan North Yu Seng, kawasan Wireless Walk, di sini, malam tadi.
Kejadian kira-kira 11.30 malam itu membabitkan tiga kenderaan iaitu dua kereta dan sebuah motosikal.
Polis Daerah Miri menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan yang turut tular di media sosial, khususnya Facebook.
“Siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki terbabit dipercayai melanggar dua kenderaan berkenaan di lokasi kejadian.
“Susulan itu, pemandu berkenaan ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” menurut hantaran tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan kesalahan memandu atau mengawal kenderaan motor ketika berada di bawah pengaruh minuman memabukkan atau dadah.
Oleh Liong Chai Ling




