KUALA LUMPUR, 15 November: Kementerian Komunikasi sedang meneliti kewajaran mewajibkan platform pemesejan WhatsApp mengesahkan identiti dan nombor telefon yang dipautkan kepada setiap akaun bagi mengekang aktiviti penipuan dalam talian.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, langkah itu sedang dikaji susulan peningkatan kes penyalahgunaan aplikasi berkenaan oleh sindiket penipuan, selain mengambil kira perbincangan dalam kalangan negara anggota Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).
“Pihak Kementerian Komunikasi sedang meneliti kewajaran untuk mengenakan satu syarat kepada pihak WhatsApp, iaitu mereka perlu mengesahkan nombor telefon yang dipautkan kepada akaun WhatsApp pada waktu ini, WhatsApp tidak mengenakan syarat pengesahan akaun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media Projek Rintis Sistem Keselamatan Warga Emas di Razak Mansion, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud.
Mengulas mengenai penahanan 61 suspek oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini kerana menyamar sebagai kakitangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam kes penipuan, Fahmi berkata, kesemua individu itu akan dihadapkan ke mahkamah sekiranya didapati melanggar undang-undang.
Beliau berkata, walaupun MCMC sebelum ini berjaya melaksanakan perubahan teknikal bagi menyekat panggilan penyamaran, sindiket penipuan kini beralih kepada taktik baharu, termasuk menggunakan aplikasi WhatsApp dan menawarkan pinjaman untuk kegiatan perjudian dalam talian.
Fahmi berkata, MCMC dan Kementerian Komunikasi tidak pernah membuat panggilan kepada orang awam berhubung tunggakan bil telefon atau urusan penguatkuasaan. Sebaliknya, urusan pembayaran bil merupakan tanggungjawab syarikat telekomunikasi masing-masing.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya segera menamatkan panggilan mencurigakan dan membuat laporan kepada pihak polis atau MCMC, selain menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 yang berfungsi sebagai pusat sehenti bagi penyelarasan tindakan pantas menangani jenayah penipuan kewangan dalam talian.
Menyentuh mengenai Projek Rintis Sistem Keselamatan Warga Emas, Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi bekerjasama dengan Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan projek berkenaan untuk warga emas yang tinggal bersendirian di Razak Mansion.
Beliau berkata, fasa awal inisiatif itu menyasarkan pemasangan teknologi pemantauan di antara 25 hingga 50 unit kediaman di kawasan perumahan berkenaan sebelum kerajaan meneliti aspek kos dan keberkesanannya untuk diperluas ke lokasi lain yang mempunyai keperluan serupa. – Bernama




