PETRA JAYA, 15 November: Sarawak berpotensi muncul sebagai pengeksport kedua terbesar Malaysia selepas 2030, didorong perkembangan industri berteknologi tinggi, sektor petrokimia, tenaga serta pembangunan infrastruktur pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sasaran itu bukan sesuatu yang mustahil memandangkan jurang nilai ekonomi Sarawak dengan Johor dan Selangor semakin rapat, selain beberapa pelaburan serta projek perindustrian berskala besar yang sedang dan bakal dilaksanakan.
Beliau berkata, perkembangan industri seperti metanol, teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), pelaburan SoftBank, perkembangan Western Digital serta pengembangan operasi OCI dan Press Metal di Samalaju dijangka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak.
“Selepas 2030, mungkin kita akan mengatasi Johor dan Selangor. Kita boleh menjadi pengeksport kedua terbesar bagi keseluruhan ekonomi Malaysia,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, hari ini.
Menurutnya, usaha memperkukuh kedudukan ekonomi Sarawak turut memerlukan pembangunan infrastruktur strategik, khususnya Pelabuhan Laut Dalam Tanjung Embang yang dirancang bagi meningkatkan keupayaan negeri mengendalikan eksport dan kargo berskala besar.
Beliau menjelaskan, pemilihan Tanjung Embang sebagai lokasi pelabuhan baharu mengambil kira keadaan laluan perkapalan di Muara Tebas yang semakin cetek akibat pemendapan bahan mendapan dari aliran Sungai Sadong dan Sungai Samarahan.
Keadaan itu, katanya, boleh menjejaskan pergerakan kapal besar untuk memasuki laluan sedia ada, sekali gus mengehadkan keupayaan pengendalian kargo dan aktiviti eksport.
Justeru, pelabuhan baharu itu dirancang dibangunkan di kawasan perairan yang lebih dalam, kira-kira 13 hingga 16 meter, bagi membolehkan kapal bersaiz besar berlabuh serta meningkatkan kapasiti perdagangan Sarawak.
Pembangunan berkenaan juga dijangka memperkukuh hubungan logistik antara kawasan selatan Sarawak dengan pasaran antarabangsa, selain menyokong pertumbuhan industri di sekitar Kuching, Samarahan dan Gedong.
Abang Johari berkata, Tanjung Embang turut dirancang sebagai hab industri rendah karbon yang memanfaatkan potensi sumber gas asli di perairan Lundu, berhampiran kawasan Natuna.
Menurutnya, teknologi CCUS membolehkan karbon dioksida yang dipisahkan daripada gas mentah, khususnya gas berasid, ditangkap sebelum disimpan jauh di bawah tanah, sekali gus membolehkan sumber gas berkenaan dimanfaatkan untuk pembangunan industri hiliran.
Beliau berkata, pembangunan industri gas itu akan membuka peluang kepada penghasilan produk petrokimia bernilai tambah tinggi, sekali gus memperkukuh rantaian industri tenaga Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, Petros telah memeterai Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) dengan syarikat infrastruktur tenaga maritim dari Norway, Höegh Evi, pada 1 Oktober lalu bagi membangunkan Terminal LNG Kuching sebagai sebahagian daripada Kuching Low-Carbon Hub.
Projek itu melibatkan pembangunan kemudahan penyimpanan dan regasifikasi LNG terapung (FSRU), dengan bekalan gas pertama disasarkan menjelang akhir 2029.
Abang Johari berkata, pembangunan Tanjung Embang mencerminkan perancangan jangka panjang Sarawak untuk memanfaatkan kedudukan strategiknya di zon selatan, khususnya sebagai pusat pentadbiran serta pintu masuk ke Kalimantan, Indonesia.
Beliau turut mengingatkan bahawa pembangunan ekonomi memerlukan dasar yang tepat, perancangan berterusan dan komitmen semua pihak bagi memastikan potensi yang dimiliki Sarawak dapat diterjemahkan kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih besar.
Oleh Afiq Sallehi




