Rumah panjang di Rumah Matop, Paku terbakar

Facebook
WhatsApp
SEBUAH rumah panjang berstruktur tidak kekal di Rumah Matop, Paku dilaporkan terbakar dalam kejadian petang ini. Foto: PGO Bomba Sarawak

SPAOH, 14 November: Sebuah rumah panjang berstruktur tidak kekal di Rumah Matop, Paku dilaporkan terbakar dalam kejadian petang ini.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.14 petang.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong tiba di lokasi kejadian pada 5.32 petang, kira-kira 18 kilometer dari balai, sebelum memulakan operasi pemadaman.

Setibanya di lokasi, Komander Operasi mengesahkan kebakaran melibatkan sebuah rumah panjang yang dibina menggunakan struktur tidak kekal.

Pasukan Keluaran Operasi (PKO) segera menjalankan tindakan pemadaman bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak ke bahagian lain bangunan.

Operasi berkenaan turut mendapat bantuan anggota dari BBP Saratok bagi memperkukuh usaha memadam kebakaran.

Seramai 15 anggota bomba terlibat dalam operasi tersebut dengan menggunakan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Hilux.

Operasi diketuai Komander Operasi, PBK I Shahrulnizam Su’ai.

Bagaimanapun, status kebakaran, jumlah rumah atau pintu yang terjejas serta sebarang laporan mengenai mangsa masih belum diperincikan.

PGO JBPM Sarawak memaklumkan perkembangan lanjut kejadian akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Oleh Adi Safarman