Kebersihan, kesihatan dan keselamatan asas kesejahteraan komuniti luar bandar

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas semasa merasmikan Program Kebersihan Persekitaran Alam Lestari, Komuniti Bestari di Rumah Panjang Kelimbang Jaman, Penyulok, Ulu Layar, hari ini. Foto: Dr Richard Rapu

BETONG, 14 November: Usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan memberi penekanan bukan sahaja kepada pembangunan ekonomi, malah aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan persekitaran.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerjasama erat antara kerajaan, pemimpin masyarakat dan penduduk amat penting bagi memastikan setiap program pembangunan komuniti dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberikan manfaat secara langsung kepada masyarakat.

Menurut beliau, pelbagai bantuan kerajaan termasuk subsidi tanaman kelapa sawit dan lada memainkan peranan penting dalam membantu meringankan beban pengusaha kecil, selain menggalakkan penduduk terus aktif dalam sektor pertanian sebagai sumber pendapatan.

“Kerajaan mahu masyarakat luar bandar terus maju dan menikmati kehidupan yang lebih baik. Sebab itu, bantuan ekonomi perlu disokong dengan kesedaran menjaga kebersihan, kesihatan dan keselamatan persekitaran tempat tinggal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kebersihan Persekitaran Alam Lestari, Komuniti Bestari di Rumah Panjang Kelimbang Jaman, Penyulok, Ulu Layar, hari ini.

Uggah turut menggalakkan penduduk rumah panjang supaya membudayakan amalan menjaga kebersihan kawasan kediaman melalui penglibatan aktif dalam aktiviti gotong-royong, termasuk memastikan pengurusan sampah dilakukan dengan baik.

Katanya, persekitaran yang bersih bukan sahaja memberikan keselesaan kepada penduduk, malah membantu mengurangkan risiko penularan penyakit serta mewujudkan suasana kehidupan yang lebih sihat.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak mengambil mudah ancaman rabies dengan memastikan haiwan peliharaan masing-masing menerima vaksinasi yang sewajarnya.

“Pencegahan rabies memerlukan kerjasama semua pihak. Pemilik haiwan perlu bertanggungjawab memastikan haiwan peliharaan mereka divaksin, manakala masyarakat perlu sentiasa peka terhadap keselamatan persekitaran,” katanya.

Program berkenaan dimulakan dengan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar rumah panjang, tebingan sungai dan halaman kediaman sebagai usaha memupuk semangat kerjasama serta tanggungjawab bersama dalam memelihara kebersihan dan kelestarian alam sekitar.

Uggah turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Daerah Betong, agensi terlibat serta penduduk rumah panjang Penyulok atas kerjasama dan komitmen dalam menjayakan program berkenaan.

Turut hadir ialah isteri Uggah, Datin Amar Dato Doreen Mayang; Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong Sabai; Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas; Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh; serta Setiausaha Majlis Daerah Betong, Lister Clement Guwie.

Oleh Adi Safarman