LIMBANG: Masyarakat perlu mengubah minda dalam memainkan peranan bersama menjaga dengan baik segala kemudahan awam yang disediakan untuk rakyat.
Malahan masalah vandalisme, keadaan kotor dan tandas yang tidak bersih terus menjadi isu utama yang diberi penekanan Majlis Daerah Limbang (MDL) khusus dalam meningkatkan kesedaran menjaga kebersihan tandas awam di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang berkata, tanggungjawab menjaga kebersihan tandas awam bukan hanya terletak pada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau kontraktor pembersihan sebaliknya semua pihak.
Menurutnya, kebersihan tandas satu masalah yang bukan saja dihadapi di negara ini tetapi seluruh dunia.
“Di sesetengah negara kebersihan tandas amat penting serta perlu bersih untuk digunakan orang lain.
“Di negara kita, kebanyakan pengguna buat endah tak endah, dengan adanya kempen ini ia dapat mendidik orang awam menjaga kebersihan tandas awam,” katanya, ketika ditemui media selepas Kempen Kebersihan Tandas dan Taman Tasik Bukit Mas di sini semalam.
Turut hadir Walikota MDL Kaunselor Sufian Mohat dan dan wakil Setiausaha MDL Mohammad Syamil Jumain.
Paulus turut melahirkan kebimbangan terdapat gejala vandalisme dalam harta awam terutama tandas.
“Lebih teruk lagi apabila, menggunakan tandas yang rosak dan tidak dapat digunakan selain kotor,” ujarnya.
Jelasnya, inisiatif pihak MDL mengadakan kempen sedemikan amat bersesuaian, bertepatan dan perlu diadakan secara berterusan.
Sementara itu, Sufian berkata, MDL mempunyai peruntukan untuk menyelenggara tandas awam di bawah jagaan mereka setiap tahun.
“Di Daerah Limbang ada kawasan di bawah jagaan penuh MDL dan setiap tahun kita melantik kontraktor untuk menyelenggara tandas, selain mengutip bayaran masuk ke tandas,” katanya.
Beliau memberitahu, pihaknya berdepan masalah utama iaitu vandalisme akibat pengguna yang tidak bertanggungjawab.
“Kita telah memperketatkan syarat kepada kontraktor, untuk mengutip bayaran masuk ke tandas awam sekali gus mencapai sasaran kebersihan tandas gred A seperti yang dicapai lima tahun lalu,” katanya.
Pada masa ini, MDL hanya mencapai gred B bagi kebersihan tandas awam dibawah jagaan mereka termasuk di Medamit, Tedungan dan Bangunan Tamu serta Pasar Limbang.
Mengulas lanjut, kempen berkenaan jelasnya satu permulaan melalui peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri khusus di Tasik Mas yang menjadi tumpuan orang ramai datang.