SPAOH, 14 November: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus memberi perhatian terhadap kebajikan dan kesejahteraan golongan warga emas, termasuk mereka yang berusia 70 hingga 90 tahun ke atas, bagi memastikan tiada golongan masyarakat yang terpinggir daripada arus pembangunan negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, komitmen kerajaan bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan infrastruktur dan ekonomi, malah turut merangkumi usaha menjaga kebajikan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira usia atau lokasi kediaman.
“Kerajaan GPS tidak pernah melupakan warga emas. Sama ada mereka berusia 70, 80 atau 90 tahun ke atas, kebajikan mereka tetap menjadi perhatian kita.
“Kita mahu memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat perhatian dan tidak ada golongan yang berasa terpinggir daripada pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Warga Emas dan Majlis Perasmian Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Bukit Saban di Dewan Masyarakat Spaoh, semalam.
Uggah yang juga Penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban berkata, peningkatan jumlah warga emas di peringkat negeri dan negara menuntut perhatian lebih menyeluruh bagi memastikan golongan berkenaan terus menikmati kehidupan yang sihat, aktif dan sejahtera.
Menurutnya, tanggungjawab menjaga kebajikan warga emas bukan hanya terletak di bahu ahli keluarga, sebaliknya memerlukan sokongan berterusan daripada kerajaan dan masyarakat setempat.
Sehubungan itu, penubuhan PAWE Bukit Saban dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam menyediakan ruang khusus kepada warga emas untuk menjalankan aktiviti bermanfaat, berinteraksi serta mengeratkan hubungan sosial.
Melalui pelbagai aktiviti seperti senaman, riadah, program kerohanian, latihan kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat, warga emas berpeluang mengekalkan kecergasan fizikal di samping meningkatkan kesejahteraan mental dan emosi.
“Warga emas tidak seharusnya berasa tersisih hanya kerana faktor usia. Mereka masih mempunyai pengalaman dan kemahiran yang boleh dikongsi serta dimanfaatkan oleh masyarakat.
“Justeru, kita perlu bersama-sama memastikan mereka terus mendapat sokongan, perhatian dan peluang untuk menjalani kehidupan yang aktif serta bermakna,” katanya.
Beliau menegaskan usaha memperkukuh kebajikan warga emas perlu dilaksanakan secara berterusan supaya golongan berkenaan terus dihargai, dihormati dan diberikan ruang untuk memainkan peranan dalam kehidupan bermasyarakat.
Kewujudan PAWE Bukit Saban diharap dapat menjadi pusat interaksi dan aktiviti komuniti yang bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah memastikan warga emas terus menjalani kehidupan yang bermakna dalam persekitaran masyarakat yang prihatin.
Oleh Adi Safarman




