PUSA, 14 November: Seramai 331 penduduk di kawasan Beting Maro menerima manfaat daripada penyerahan 471 Surat Hak Milik Tanah (SHT) di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak (KTS), sekali gus memperkukuh kepastian undang-undang terhadap pemilikan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) mereka.
Penyerahan surat hak milik tersebut disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTS bagi kawasan Beting Maro yang berlangsung di Dewan Komuniti Kampung Pusa, semalam.
Daripada jumlah keseluruhan surat hak milik yang diserahkan, 110 diberikan kepada 85 penerima dari kawasan Sungai Bras, Beladin, manakala 361 lagi diterima oleh 246 penduduk Kampung Tambak.

Berucap pada majlis itu, Awang Tengah menegaskan bahawa tanah bukan sekadar aset ekonomi, malah merupakan warisan keluarga, sumber rezeki dan simbol identiti yang menghubungkan generasi terdahulu dengan generasi masa depan.
Menurut beliau, kejayaan pelaksanaan Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) sejak 2010 membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperjelaskan sempadan tanah, memperkukuh rekod pemilikan serta melindungi hak rakyat berasaskan peruntukan undang-undang.
“Program ini dilaksanakan menerusi dua peringkat utama, iaitu pengukuran perimeter dan pewartaan kawasan di bawah Seksyen 6 KTS sebelum diteruskan dengan pengukuran lot individu serta pengeluaran Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 KTS,” katanya.
Beliau turut berkongsi pencapaian program tersebut yang menyaksikan lebih 1.248 juta hektar tanah NCR telah diukur dari segi perimeter, dengan 979,434 hektar daripadanya berjaya diwartakan.
Selain itu, sebanyak 112,717 lot individu melibatkan keluasan 135,332 hektar telah diukur, manakala 40,796 lot berjaya diberikan Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 KTS.
Awang Tengah menjelaskan bahawa pencapaian itu bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan usaha gigih kerajaan bersama agensi berkaitan dalam memastikan hak dan kepentingan masyarakat luar bandar terus terpelihara.
Dalam masa yang sama, beliau menolak tanggapan bahawa proses pengukuran perimeter dan pewartaan di bawah Seksyen 6 KTS bertujuan merampas tanah rakyat.
Sebaliknya, katanya, proses tersebut merupakan mekanisme penting untuk mengenal pasti, merekod dan melindungi kawasan NCR yang diiktiraf serta menjadi asas kepada pengeluaran hak milik individu secara sah.
Beliau turut menyeru pemilik dan penuntut tanah NCR agar memberi kerjasama penuh kepada Jabatan Tanah dan Survei dengan membantu mengenal pasti sempadan tanah, menghadiri sesi pengukuran serta menyelesaikan sebarang pertikaian melalui saluran undang-undang yang disediakan.
Mengulas kelebihan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTS, beliau berkata dokumen berkenaan menawarkan pelbagai manfaat termasuk pengecualian cukai tanah, tidak dikenakan bayaran premium serta mempunyai tempoh pegangan kekal.
Sehubungan itu, beliau berharap para penerima menghargai surat hak milik yang diterima sebagai jaminan masa depan keluarga dan tidak tergesa-gesa menjual tanah bagi memenuhi keperluan kewangan jangka pendek.
Pada masa sama, beliau menggalakkan pemilik tanah memanfaatkan pelbagai bantuan dan insentif pembangunan pertanian yang disediakan kerajaan negeri melalui program Modenisasi Pertanian di bawah Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD).
“Tanah yang dimiliki perlu diusahakan secara produktif agar bukan sahaja dapat diwarisi oleh generasi akan datang, malah menjadi sumber pendapatan yang mampu meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan keluarga,” katanya.
Tegas beliau, kerajaan Sarawak akan terus komited menangani isu pemilikan tanah NCR secara berterusan melalui sempadan yang jelas, rekod pemilikan yang teratur serta pemberian hak milik kepada penuntut yang layak mengikut syarat yang ditetapkan.
Oleh Adi Safarman




