SRI AMAN: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM60 juta untuk pelaksanaan Program Bantuan Baja kepada pekebun kecil kelapa sawit dan lada (BBKSL) di seluruh negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata daripada jumlah itu program tersebut dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 58,000 pekebun kecil di Sarawak.
Bagi DUN Bukit Begunan katanya, penerima untuk fasa pertama adalah seramai 50 peserta yang melibatkan 11 penerima baja kelapa sawit dan 39 penerima baja lada dengan jumlah keseluruhan baja ialah sebanyak 600 beg.
“Bagi mengurangkan beban pekebun kecil kelapa sawit dan lada, Kerajaan Sarawak memutuskan untuk memberikan bantuan baja bagi memastikan mereka terus mengusahakan kebun sekaligus menjamin perkembangan industri lada dan kelapa sawit.
“Semenjak pandemik Covid-19 melanda, ia telah banyak menjejaskan sosioekonomi khususnya kepada para petani sehingga pada tahun lepas, harga komoditi bagi kedua-dua tanaman ini rendah dan tidak stabil.
“Ketidaktentuan harga komoditi tersebut amat dipengaruhi oleh penawaran, permintaan dan persaingan daripada negara pengeluar yang lain.
“Bagi mengurangkan beban pekebun kecil kelapa sawit dan lada, Kerajaan Sarawak memutuskan untuk memberikan bantuan baja bagi memastikan mereka terus mengusahakan kebun sekaligus menjamin perkembangan industri lada dan kelapa sawit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Baja kepada Pekebun Kecil Kelapa Sawit dan Lada (BBKSL) Negeri Sarawak bagi DUN Bukit Begunan bertempat di Dewan Sri Pantu dekat sini semalam.
Mong berkata, bagi peserta yang layak dan telah memohon tetapi belum menerima pada fasa pertama, ia akan menyusul pada fasa dua, fasa tiga dan fasa empat.
Tambahnya objektif program ini dibuat adalah untuk mengurangkan beban pekebun kecil kelapa sawit dan lada dari segi kos pembajaan bagi meningkatkan hasil pengeluaran.
Sementara itu, Mong menjelaskan Kerajaan Sarawak atau Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa prihatin dengan golongan petani dan nelayan di negeri ini.
Katanya, kerajaan telah menyediakan bantuan untuk mereka dan mereka perlu menggunakannya dengan sebaiknya.
“Kerajaan GPS sentiasa prihatin dengan golongan petani dan nelayan supaya mereka tidak perlu mengeluarkan duit sendiri dan mendapat lebih pendapatan, jadi gunakan bantuan ini dengan sebaiknya,” ujarnya.
Turut hadir ialah Pegawai Pertanian Bahagian Sri Aman, Freddy Paul Giang, Pegawai Menguasa Pejabat Pertanian Daerah Pantu, Eddyson Jenggah dan Pegawai Tadbir Pejabat Daerah kecil Pantu, Royston Francis.
Oleh ADI SAFARMAN