SARIKEI, 14 November: Usaha memperkasa peranan perpustakaan desa sebagai pusat pembelajaran komuniti terus diberikan perhatian menerusi lawatan ilmiah Perpustakaan Desa (PD) Taman Susur Jambu ke Pustaka Negeri Sarawak, Sibu, baru-baru ini.
Lawatan tersebut memberi peluang kepada rombongan untuk mendalami aspek pengurusan perpustakaan, mengenali kemudahan yang disediakan dan mempelajari pendekatan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Jurucakap PD Taman Susur Jambu berkata, penganjuran lawatan tersebut turut membuka ruang kepada peserta untuk menimba pengalaman baharu yang boleh dijadikan panduan dalam meningkatkan perkhidmatan perpustakaan di peringkat komuniti.
Katanya, pendedahan secara langsung terhadap operasi dan kemudahan Pustaka Negeri Sarawak memberikan gambaran lebih jelas mengenai kepelbagaian fungsi perpustakaan dalam memenuhi keperluan masyarakat.
“Secara keseluruhannya, lawatan ini memberikan pengalaman bermakna serta membuka ruang kepada kami untuk mempelajari perkara baharu berkaitan perkhidmatan dan pengurusan perpustakaan.
“Kami juga berpeluang meninjau kawasan pustaka untuk melihat dengan lebih dekat kemudahan, fasiliti dan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya kepada Utusan Sarawak, hari ini.

Rombongan tersebut disertai Penyelia Zon 7 dan 8, Jennifer Jemat, tiga kakitangan perpustakaan, seorang kakitangan Pusat Komuniti Digital (DCC), ahli jawatankuasa PD serta ahli perpustakaan.
Katanya, ketibaan rombongan disambut oleh dua kakitangan Pustaka Negeri Sarawak, Sibu, iaitu Siti Suhana dan Zarees.
“Sepanjang kunjungan, peserta diberikan taklimat oleh Zarees mengenai latar belakang Pustaka Negeri Sarawak, Sibu, serta perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna.
“Rombongan turut dibawa meninjau kawasan pustaka bagi melihat sendiri kemudahan dan ruang yang disediakan untuk menyokong aktiviti pembelajaran, pembacaan serta program komuniti.
“Selain menambah pengetahuan mengenai pengurusan perpustakaan, peserta turut berkesempatan menyaksikan program kesihatan warga emas yang berlangsung ketika lawatan,” katanya.
Tambahnya, pendedahan kepada program tersebut turut memperlihatkan bagaimana kemudahan perpustakaan dapat dimanfaatkan sebagai ruang untuk melaksanakan aktiviti yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada seluruh warga Pustaka Negeri Sarawak, Sibu, khususnya Siti Suhana dan Zarees, atas sambutan mesra, perkongsian ilmu serta layanan baik sepanjang kunjungan kami.
“Semoga lawatan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperluas pengetahuan, pengalaman dan jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak,” katanya.




