KUCHING: Tiada rundingan sedang atau akan berlaku antara Parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Sarawak Ke-12 (PRN12) akan datang.
Demikian tegas Setiausaha Agung GPS, Dato Sri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan media semalam sekali gus menyangkal dakwaan mengatakan beliau mengesahkan terdapat rundingan pembahagian kerusi antara Parti GPS dan Parti BERSATU baru-baru ini.
Menurut Alexander, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut malah katanya, Parti GPS akan bertanding di semua 82 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada PRN12 yang akan datang.
“Sehubungan itu, saya ingin membetulkan mesej salah yang dilaporkan dalam beberapa media, terutama Malaysian Dateline yang membuat laporan sedemikian,” tegas Alexander lagi.
Mengulas lanjut katanya, apa yang berlaku pada sidang media yang diadakan pada 21 Oktober lalu di Kuching baru-baru ini ialah beliau telah ditanya mengenai kerusi Bersatu di Sarawak, iaitu kerusi DUN Krian yang dipegang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Datuk Ali Biju.
Sebagai maklum balas kepada soalan itu jelasnya, beliau hanya menyatakan bahawa kedudukan kerusi Krian akan dibincangkan oleh Parti GPS dan jawapan yang diberikan tidak merujuk kepada mana-mana kerusi DUN yang lain.
“Saya kecewa dengan tidakan segelintir media yang ‘memasukkan kata-kata ke dalam mulut saya’ untuk mensensasikan isu pembahagian kerusi sempena PRN Sarawak ke-12.
“Dengan penjelasan ini, saya berharap semua pihak mendapat fakta yang sebenar dan tiada lagi sebarang isu mengenainya yang berbangkit,” ujarnya.
Oleh SYAMIMI HUSNA