MATU, 14 November: Penghargaan terhadap golongan asnaf dizahirkan bukan sahaja menerusi penyampaian sumbangan, malah turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan nyanyian dan cabutan bertuah.
Menariknya, aktiviti karaoke santai yang berlangsung sempena majlis penyampaian sumbangan asnaf Kampung Tian itu turut menyaksikan penyertaan peserta muda, Muhamad Firaz Naqiuddin, yang berani menyerlahkan bakat nyanyiannya meskipun dikelilingi peserta veteran.
Firaz mencuri perhatian apabila mendendangkan lagu daripada penyanyi terkenal tanah air, Hafiz Suip yang terkenal dengan alunan nota tinggi.
Menurutnya, menyanyi merupakan hobi pada masa lapang yang kini semakin menjadi sebahagian daripada rutin hariannya.
Bermula seawal usia empat tahun, minat Firaz dalam bidang nyanyian mula berkembang hasil dorongan ahli keluarganya.

“Sejak kecil, saya sering meluangkan masa dengan pakcik saya yang kebetulan meminati bidang nyanyian.
“Sedikit sebanyak, minat saya mula terpupuk hasil dorongan daripadanya,” katanya.
Sehubungan itu, Firaz yang berumur 16 tahun juga pernah meraih gelaran johan dalam pertandingan nyanyian peringkat sekolah turut menyifatkan hasrat untuk mengembangkan bakatnya ke peringkat seterusnya.
“Kalau ada rezeki, saya berniat untuk bertanding di peringkat yang lebih tinggi untuk menyerlahkan bakat yang ada,” katanya lagi.
Di samping itu, sesi cabutan bertuah turut mendapat sambutan meriah daripada pengunjung dengan pelbagai hadiah menarik ditawarkan, antaranya ketuhar, kipas elektrik dan mesin pemotong rumput.
Lebih menarik, sebuah mesin basuh menjadi hadiah utama cabutan bertuah yang dimenangi Muhamad Kusai, penjaga Dewan Masyarakat Kampung Tian.
Oleh Adibfahmy




