SIBU, 14 November: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) digesa mempergiat usaha mengkomersialkan hasil penyelidikan dan inovasi bagi menjana pendapatan, sekali gus memberikan manfaat ekonomi kepada universiti serta Sarawak.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak merangkap Canselor UTS, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penyelidikan yang dijalankan institusi pengajian tinggi tidak seharusnya terhenti pada penerbitan akademik semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada produk, teknologi dan peluang perniagaan yang mempunyai nilai komersial.
Menurutnya, universiti bukan sahaja berperanan menyampaikan ilmu dan melahirkan graduan, malah perlu menjadi pusat penerokaan ilmu baharu serta memastikan hasil penyelidikan dapat dimanfaatkan secara praktikal.
“Saya mahu melihat penyelidikan ini dikomersialkan, diterjemahkan kepada penubuhan syarikat pemula niaga serta pembangunan teknologi dan idea baharu yang mampu menjana pendapatan sebenar kepada universiti dan negeri.
“Penyelidikan yang baik tidak seharusnya berakhir di atas kertas, sebaliknya perlu menghasilkan produk, syarikat, sumber pendapatan dan pulangan yang membolehkan universiti melabur semula untuk pembangunan institusi serta rakyat Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UTS ke-11 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, UTS, di sini, hari ini.
Wan Junaidi turut menggalakkan penyelidik UTS memperluas penerbitan hasil kajian menerusi artikel ilmiah, jurnal dan buku supaya pengetahuan yang dihasilkan dapat dikongsi serta dimanfaatkan di peringkat antarabangsa.
Katanya, usaha itu termasuk mendokumentasikan dan mengetengahkan pengetahuan tradisional serta warisan ilmu masyarakat peribumi Sarawak yang mempunyai nilai penting untuk dikaji dan dikembangkan.
Beliau berkata, kekayaan ilmu masyarakat tempatan tidak seharusnya dibiarkan tanpa penerokaan lanjut, sebaliknya wajar diberi pengiktirafan menerusi penyelidikan berkualiti.
Dalam pada itu, Wan Junaidi menyambut baik aspirasi UTS untuk membangunkan bidang penyelidikan khusus yang sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), khususnya dalam bidang teknologi hijau, kelestarian dan pengurusan karbon.
Menurutnya, tumpuan terhadap bidang berkenaan mampu menarik penyelidik serta saintis berkaliber ke Sarawak, selain memperkukuh kedudukan UTS sebagai institusi penyelidikan yang berdaya saing.
Beliau turut menyentuh aspirasi Sarawak untuk menubuhkan agensi angkasanya sendiri serta melancarkan nanosatelit pertama negeri ke orbit.
Katanya, inisiatif berkenaan bukan sahaja berpotensi meningkatkan sistem komunikasi di kawasan pedalaman, malah membuka peluang penyelidikan baharu kepada saintis dan jurutera muda Sarawak.
Beliau berharap UTS dapat memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan bidang teknologi angkasa lepas di negeri ini.
Menyentuh perkembangan universiti, Wan Junaidi berkata, beliau turut berbesar hati dengan usaha UTS memperluas bidang pengajian melangkaui kejuruteraan dan teknologi, termasuk bidang seni, kemanusiaan serta perancangan untuk memperkenalkan program perubatan.
Katanya, kepelbagaian disiplin ilmu penting bagi memastikan Sarawak bukan sahaja melahirkan tenaga kerja berkemahiran teknikal, malah golongan pemikir, penulis, penggiat seni dan profesional kesihatan yang diperlukan untuk pembangunan masyarakat secara menyeluruh.
Beliau turut menyokong aspirasi UTS untuk mendapatkan pengiktirafan menerusi Penarafan Universiti Dunia QS sebagai langkah mengukur pencapaian universiti berdasarkan piawaian antarabangsa.
Menurutnya, usaha itu bukan semata-mata untuk mengejar prestij, tetapi bagi memastikan mutu pendidikan dan penyelidikan UTS mampu bersaing dengan institusi pengajian tinggi terbaik dunia.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyifatkan inisiatif pendidikan tinggi percuma oleh kerajaan Sarawak sebagai pelaburan penting dalam pembangunan modal insan negeri.
Katanya, akses kepada pendidikan berkualiti tanpa kekangan kewangan akan membolehkan lebih ramai anak Sarawak mengembangkan potensi masing-masing dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negeri.
Beliau turut mengingatkan graduan supaya menghargai peluang pendidikan yang diterima serta menggunakan ilmu dan kemahiran mereka untuk berbakti kepada keluarga, masyarakat dan Sarawak.
Oleh Akun Giman




