SIBU, 14 November: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) berhasrat memperkenalkan program ijazah perubatan bagi memperluas penawaran akademiknya, sekali gus menyumbang kepada pembangunan pendidikan perubatan dan perkhidmatan kesihatan di Sarawak.
Naib Canselor UTS, Prof Ir Ts Dr Mohammad Shahril Osman berkata, usaha merealisasikan hasrat itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan kerajaan Sarawak, pihak berkuasa berkaitan, institusi kesihatan serta rakan akademik antarabangsa.
Menurutnya, inisiatif itu merupakan antara aspirasi penting universiti dalam memperkukuh peranannya sebagai institusi pengajian tinggi yang menyumbang kepada pembangunan negeri.
“Antara aspirasi penting kami pada masa hadapan ialah mewujudkan program ijazah perubatan di UTS bagi memperluas penawaran akademik serta menyumbang kepada kemajuan pendidikan perubatan dan perkhidmatan kesihatan di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UTS ke-11 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib, UTS, di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak merangkap Canselor UTS, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Turut hadir Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Mohammad Shahril berkata, UTS turut menyasarkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa menerusi penarafan QS Stars dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti akademik, penyelidikan, inovasi, penglibatan industri dan kerjasama antarabangsa.
Katanya, UTS kini mempunyai 6,724 pelajar yang mengikuti 36 program akademik, mencerminkan perkembangan memberangsangkan sejak penubuhannya pada 2013.
Sebagai institusi milik penuh kerajaan Sarawak, UTS turut komited memperkukuh tadbir urus, kemampanan operasi dan hala tuju strategiknya selaras dengan aspirasi kerajaan negeri terhadap perusahaan milik kerajaan (SOE).
Beliau turut menyambut baik pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) yang membuka peluang lebih luas kepada anak Sarawak untuk melanjutkan pengajian tinggi tanpa dikenakan yuran pengajian, tertakluk kepada syarat kelayakan.
Menurutnya, inisiatif itu diharap dapat melahirkan generasi rakyat Sarawak yang berilmu, berkemahiran serta mampu menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negeri.
Dalam pada itu, UTS turut bergerak ke arah pendigitalan keseluruhan aliran kerjanya dengan mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kelancaran dan kecekapan proses pengurusan universiti.

Mohammad Shahril menegaskan komitmen UTS untuk memastikan pendidikan tinggi berkualiti dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat, selaras dengan tema konvokesyen tahun ini, ‘Pendidikan Berkualiti untuk Semua’ (Accessible Quality Education for All).
Beliau turut mengingatkan graduan supaya sentiasa mengamalkan integriti, bertanggungjawab dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat serta memanfaatkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh untuk membina kehidupan bermakna dan menyumbang kepada masyarakat.
Pada majlis itu, seramai 586 graduan menerima ijazah masing-masing, terdiri daripada 34 graduan pascasiswazah dan 552 graduan ijazah sarjana muda.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian, Nicholas Goh Kah Tung menerima Anugerah Canselor.
Dua lagi graduan menerima Anugerah Akademik iaitu Agnes Lu Siau Ling, graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan dengan Kepujian, dan Pamela Louis, graduan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dengan Kepujian dalam bidang Pemasaran.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UTS, Datuk Dr Annuar Rapaee dan Pengerusi Lembaga Gabenor UTS, Profesor Emeritus Dato Dr Abdul Hakim Juri.
Oleh Akun Giman



