MCMC pandang serius penyalahgunaan identiti pegawai dalam kes penipuan

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan.

PUTRAJAYA, 14 November: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memandang serius penyalahgunaan nama dan identiti pegawainya bagi tujuan memperdaya orang ramai, termasuk menerusi kegiatan penipuan.

MCMC memaklumkan bahawa pihaknya mengambil maklum laporan mengenai penahanan 61 individu yang disyaki terbabit dalam sindiket penipuan, termasuk kegiatan menyamar sebagai pegawai suruhanjaya itu, susulan operasi yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Selangor.

“MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan nama dan identiti pegawai bagi tujuan memperdaya orang ramai, khususnya menerusi kegiatan penipuan yang boleh menjejaskan keselamatan serta kepercayaan masyarakat,” menurut suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini.

MCMC menjelaskan bahawa pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada PDRM bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan, termasuk dengan menyalurkan maklumat berkaitan.

Dalam pada itu, MCMC menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap panggilan atau mesej daripada individu yang mendakwa sebagai pegawai suruhanjaya berkenaan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya membuat pengesahan menerusi saluran rasmi sebelum memberikan sebarang maklumat peribadi atau melakukan transaksi kewangan,” menurut kenyataan itu. – Bernama