KUCHING, 13 November: Parti Tindakan Demokratik (DAP) memberi bayangan kemungkinan menampilkan calon daripada Generasi Z (Gen Z) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, sekali gus membuka ruang kepada generasi muda membawa suara mereka sendiri dalam arena politik negeri.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, beliau sedang berusaha mendapatkan persetujuan seorang wanita daripada generasi berkenaan untuk menyertai barisan calon parti itu pada pilihan raya akan datang.

Menurutnya, wanita berkenaan berpotensi menjadi calon Gen Z, iaitu mereka yang dilahirkan selepas tahun 2000, namun identiti serta kesediaannya untuk bertanding masih belum dapat dipastikan.
Beliau berkata, pengumuman rasmi hanya akan dibuat selepas wanita berkenaan mengesahkan kesediaan dan persetujuannya untuk menjadi calon.
“Suara golongan muda tidak seharusnya disampaikan melalui perspektif mereka yang berusia 40-an, 50-an atau 60-an. Golongan muda, khususnya Gen Z, mempunyai pandangan dan perspektif tersendiri mengenai kehidupan serta bagaimana kerajaan dan negara perlu ditadbir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada acara malam media bersama DAP yang turut dihadiri pengamal media serta pempengaruh media sosial di sini, malam ini.
Chong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan berkata, penglibatan anak muda dalam politik penting kerana dasar kerajaan memberi kesan secara langsung kepada kehidupan seharian, termasuk persekitaran, peluang pekerjaan dan harga barangan keperluan.
Katanya, politik tidak seharusnya dianggap sebagai bidang yang hanya berkaitan dengan golongan lebih berusia kerana setiap lapisan masyarakat terkesan dengan keputusan dan dasar yang dibuat oleh kerajaan.
Beliau berharap kemungkinan penyertaan calon Gen Z itu dapat menarik lebih ramai anak muda untuk mengambil tahu perkembangan politik serta memberikan sokongan kepada generasi baharu yang ingin menawarkan khidmat kepada masyarakat.
“Bagi pilihan raya negeri kali ini, saya boleh memberi jaminan bahawa pasukan calon DAP akan menjadi yang termuda antara semua parti yang bertanding. Kita mungkin juga mempunyai calon daripada Gen Z,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kenyataan itu bukan pengumuman rasmi senarai calon parti, sebaliknya sekadar memberikan gambaran awal mengenai persiapan DAP menghadapi pilihan raya berkenaan.
Chong turut mengesahkan DAP akan bertanding pada PRN13, namun tidak mendedahkan senarai calon yang bakal diketengahkan parti itu.
Menjelang PRN13, DAP Sarawak sebelum ini mengesahkan akan bertanding di tujuh kerusi DUN iaitu Padungan, Pending, Batu Kitang, Kota Sentosa, Batu Kawah, Tasik Biru dan Opar, manakala Batu Lintang masih dalam pertimbangan sebagai kemungkinan kerusi kelapan.
Chong sebelum ini turut memaklumkan keputusan mengenai kerusi yang bakal ditandingi di Sibu, Sarikei, Bintulu dan Miri akan diumumkan secara berasingan selepas perbincangan dengan kepimpinan parti di kawasan berkenaan.
Pada PRN2021, DAP hanya memenangi dua daripada 26 kerusi yang ditandingi, masing-masing di Padungan menerusi Chong dan Pending menerusi Violet Yong.
Oleh Afiq Sallehi





