LUBOK ANTU, 13 November: Semangat prihatin dan kasih sayang sesama masyarakat terus dipamerkan apabila Huang Huat Khai menghulurkan sumbangan kepada keluarga mendiang Tinggi Magal, 82, yang meninggal dunia di Kuching semalam.
Sumbangan itu disampaikan sebagai tanda simpati dan sokongan moral kepada keluarga mendiang yang sedang melalui saat getir selepas kehilangan insan tersayang.
Bagi mewakili bapanya, Ethan Huang Qi Sheng menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian dan wang tunai kepada anak mendiang, Sarjan Aju Tinggi, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.
Sarjan Aju menerima sumbangan tersebut dengan penuh rasa terharu dan menzahirkan penghargaan atas keprihatinan serta ingatan yang diberikan kepada keluarganya.
Jenazah Tinggi Magal dijadualkan dibawa pulang ke kampung halamannya di Rumah Jubang, Kaong Ulu, Lubok Antu, petang ini untuk urusan penghormatan terakhir dan pengebumian.
Menurut Huang Huat Khai, amalan saling membantu amat penting dalam masyarakat, terutamanya ketika sesebuah keluarga berdepan kehilangan.
“Sumbangan ini bukan sekadar bantuan material, tetapi membawa mesej bahawa keluarga yang berduka tidak bersendirian dalam menghadapi saat penuh ujian,” katanya.
Beliau berharap keprihatinan seumpama itu dapat menyuntik kekuatan kepada keluarga mendiang, di samping memupuk semangat kemasyarakatan, perpaduan dan budaya saling mengambil berat dalam kalangan masyarakat setempat.
Oleh Adi Safarman





