SIBU, 13 November: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) akan menerima tiga unit kereta elektrik (EV) termasuk seunit jenama BYD model Sealion 7 menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) dengan SKMG Asia Technology Sdn Bhd, hari ini.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Naib Canselor UTS, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohammad Shahril Osman dengan Ketua Pegawai Eksekutif, SKMG Asia Technology Sdn. Bhd, Rosdin Abdul Kahar.
Menurut Profesor Ir. Ts. Dr. Mohammad Shahril, penyerahan tiga kenderaan itu akan dilaksanakan secara berperingkat bagi menyokong pembangunan latihan teknikal dan pendidikan berkaitan teknologi EV di universiti berkenaan.
“Kami berharap melalui MoA ini dapat menjalin kerjasama dalam membangunkan dan melaksanakan program latihan khusus, terutamanya dalam bidang teknologi baharu dan kemahiran teknikal yang memenuhi keperluan semasa industri.
“Kerjasama ini akan membuka peluang kepada perkongsian ilmu, pembangunan kepakaran teknikal, latihan profesional serta pertukaran pengalaman industri antara kedua-dua organisasi,” ujarnya.
Katanya, program latihan berkenaan akan dibangunkan menerusi Pusat Pendidikan Berterusan dan Pembangunan Profesional (CEPD) UTS, bukan sahaja untuk pelajar universiti, malah turut melibatkan kakitangan industri, golongan profesional dan masyarakat umum.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SKMG Asia Technology Sdn Bhd, Ts. Rosdin Abdul Kahar berkata, kerjasama strategik itu turut melibatkan BYD bagi membangunkan kemahiran teknikal dan tenaga kerja yang diperlukan dalam sektor mobiliti elektrik.
“Ketiga-tiga pihak membawa kepakaran masing-masing dengan BYD menyumbangkan pengetahuan serta pengalaman dalam teknologi EV, manakala UTS menyediakan kepakaran akademik dan kemudahan pendidikan.
“SKMG pula membawa pengalaman industri, keupayaan pengurusan latihan serta komitmen dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran,” ujarnya lagi.
Beliau memberitahu, program latihan EV itu penting bagi menyediakan tenaga kerja yang memahami sistem kenderaan elektrik, teknologi bateri, infrastruktur pengecasan dan aspek keselamatan elektrik.
Katanya lagi, kerjasama itu juga diharap dapat membuka peluang latihan kepada pelajar, juruteknik, jurutera, golongan profesional industri serta individu yang ingin meneroka peluang kerjaya baharu.
“Kerjasama yang berjaya tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah perjanjian yang ditandatangani, tetapi melalui hasil yang mampu kita sampaikan,” katanya.
Turut hadir ialah Pengurus Pembangunan Perniagaan SKMG Asia Technology Sdn. Bhd dan Pengarah Pusat Pendidikan Berterusan dan Pembangunan Profesional (CEPD), Safrina Zainal Abidin.
Oleh Akun Giman




