LABUAN: Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA), badan kawal selia bagi Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (IBFC) yang meraikan ulang tahunnya yang ke-25 tahun ini telah menangani pelbagai bentuk cabaran sepanjang perjalananan operasinya lebih daripada dua dekad.
Pengarah Urusan Labuan FSA, Nik Mohamed Din Nik Musa berkata, cabaran-cabaran itu telah membantu Labuan FSA mewujudkan peluang pertumbuhan baharu yang signifikan bagi pertumbuhan, bangkit dengan lebih kukuh dan menjadi badan kawal selia yang lebih dinamik.
“Meskipun pelbagai cabaran, terutamanya cabaran kawal selia, yang dihadapi oleh Labuan IBFC, satu perkara yang sangat jelas bagi Labuan FSA adalah ia perlu menjadi lebih tangkas.
“Tangkas untuk membangunkan penyelesaian yang menangani keperluan bagi melakukan pembaharuan kawal selia antarabangsa, pasaran perniagaan dan kewangan, agar dapat bergerak seiring dengan trend yang semakin berkembang pesat dan mengikuti perkembangan terkini global,” katanya dalam satu temu bual bersama Bernama semalam bersempena dengan ulang tahun ke-25 Labuan FSA (1996-2021) tahun ini.
Nik Mohamed berkata, Labuan FSA perlu bergerak sejajar dengan perkembangan global bagi memastikan Labuan IBFC terus kekal relevan dalam landskap perniagaan yang kompetitif.
“Ini juga akan membantu Labuan IBFC menerima guna norma baharu dalam landskap perniagaan yang telah berubah seperti peningkatan penggunaan saluran digital, mengadakan lebih banyak libat urus dengan industri untuk membangunkan lebih banyak inisiatif yang mendorong pasaran bagi merangsangkan pertumbuhan, mengukuhkan perniagaan sedia ada dan dasar serta proses kawal selia bagi sektor khusus seperti perkhidmatan kewangan digital, insurans kaptif dan kewangan Islam,” katanya.
Beliau berkata, Labuan terus mengamalkan amalan terbaik antarabangsa dan merupakan ahli kepada badan kawal selia di pelbagai organisasi antarabangsa seperti International Association of Insurance Supervisors (IAIS), Group of International Insurance Centre Supervisors (GIICS), Group of International Finance Centre Supervisors (GIFCS), Asia/Pacific Group on Money Laundering (APG), Financial Action Task Force (FATF) dan International Organisation of Securities Commissions (IOSCO).
“Ini akan membolehkan kami mewujudkan pelbagai saluran berbeza untuk bekerjasama dengan pengawal selia luar negara dalam menyelia aktiviti entiti Labuan,” katanya.
Beliau berkata, pandemik Covid-19 telah mengubah hampir segenap aspek kehidupan dari segi peribadi (bagaimana orang hidup dan bekerja) hinggalah kepada aspek profesional (bagaimana syarikat berinteraksi dengan pelanggan mereka, bagaimana pelanggan memilih dan membeli produk dan perkhidmatan dan bagaimana rantaian bekalan menghantarnya).
“Pandemik itu telah memberi kesan besar dan cabaran yang belum pernah dihadapi Labuan FSA dan Labuan IBFC sebelum ini. Kelembapan ekonomi global dan sekatan perjalanan telah menjejas aktiviti perniagaan di Labuan IBFC,” katanya.
Nik Mohamed Din berkata, Labuan FSA memberikan pelepasan sementara kawal selia bagi meringankan sedikit bebanan kawal selia dan menyediakan fleksibiliti kepada pasaran untuk mengekalkan perniagaan terus berdaya maju semasa tempoh sukar ketika ini.- Bernama