FTES bukan sekadar percuma tetapi magnet tarik pelabur gergasi global ke Sarawak

Facebook
WhatsApp
MOHAMAD Duri ketika hadir pada Majlis Graduasi dan Anugerah Cemerlang 2026 SMK Bahasa Malaysia Saratok di Dewan Sri Semerbak. Foto Pusat Khidmat DUN Kalaka

SARATOK, 13 November: Dasar pendidikan progresif kerajaan Sarawak menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) kini menjadi aset strategik yang berjaya memikat minat pelabur antarabangsa, termasuk syarikat teknologi gergasi global SoftBank, untuk meneroka pelaburan berteknologi tinggi di negeri ini.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, keyakinan pelabur luar bukan lagi sekadar bersandarkan sumber tenaga boleh diperbaharui Sarawak, malah bertumpu kepada keupayaan negeri melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang mikroelektronik dan kecerdasan buatan (AI).

“Dasar ini amat baik dan boleh disifatkan sebagai laluan emas untuk anak-anak Sarawak membina kerjaya serta mencapai masa depan yang lebih cerah.

“Jika suatu hari nanti anda ditawarkan peluang mengikuti 64 bidang pengajian atau lebih pada masa hadapan, terimalah dengan hati terbuka dan jangan sesekali berasa ragu-ragu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi dan Anugerah Cemerlang 2026 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahasa Malaysia Saratok di Dewan Sri Semerbak, semalam.

Mengulas lanjut kenyataan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Mohamad Duri menegaskan bahawa anak Sarawak lepasan sekolah tidak seharusnya meragui keberanian kerajaan negeri dalam membangunkan modal insan berimpak tinggi bagi memenuhi kehendak industri masa depan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan para pelajar bahawa tawaran pengajian percuma itu datang bersama tanggungjawab besar untuk belajar bersungguh-sungguh dan mencapai kecemerlangan.

Pada masa yang sama, Mohamad Duri turut berpesan kepada para graduan bahawa realiti dunia luar menuntut lebih daripada sekadar kelayakan akademik di atas kertas.

“Jadikanlah segala pengalaman sepanjang berada di sekolah sebagai bekalan untuk melangkah lebih jauh.

“Ingatlah, kejayaan bukan semata-mata diukur berdasarkan keputusan peperiksaan, tetapi turut dinilai melalui akhlak, usaha dan keikhlasan hati dalam mengejar impian,” ujarnya.

Oleh Adi Safarman