Ular sawa  4.2 meter ceroboh kandang ayam di Kampung Bungey

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA APM Debak berjaya menangkap seekor ular sawa sepanjang kira-kira 4.2 meter di kawasan kandang ayam milik penduduk di Kampung Bungey, Debak. Foto APM Debak

DEBAK, 13 November: Kehadiran seekor ular sawa sepanjang kira-kira 4.2 meter di kawasan kandang ayam milik penduduk di Kampung Bungey mencetuskan kebimbangan sebelum berjaya ditangkap oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Debak semalam.

Menurut kenyataan APM Daerah Debak, pihaknya menerima aduan daripada seorang pengadu berhubung penemuan reptilia berkenaan yang berada di kawasan kandang ayam miliknya.

Kehadiran ular sawa itu menimbulkan kebimbangan kerana dikhuatiri boleh mengancam keselamatan haiwan ternakan serta persikataran kediaman penduduk.

Susulan aduan diterima, sepasukan anggota APM Debak segera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menangkap ular berkenaan.

Setibanya di lokasi, anggota melakukan pemeriksaan terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan operasi menangkapan reptilia itu dapat dilaksanakan dengan selamat.

Hasil tindakan pantas dan kerjasama anggota bertugas, ular sawa sepanjang 4.2 meter itu berjaya ditangkap tanpa sebarang kejadian tidak diingini sepanjang operasi dijalankan.

APM Daerah Debak turut menegaskan komitmennya untuk terus memberikan khidmat bantuan kepada masyarakat dalam menangani kejadian kecemasan serta ancaman haiwan berbisa dan liar demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti setempat.

Oleh Adi Safarman