KUCHING, 13 November: Sambutan Hari Keluarga 2026 anjuran Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) bakal menghidangkan pelbagai aktiviti kekeluargaan serta perkhidmatan komuniti kepada orang ramai di Le’Park, Dewan Suarah Kuching, esok.
Bertemakan ‘Kasih Keluarga, Jiwa Negara’, program sehari sempena Bulan Keluarga Kebangsaan itu bertujuan mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat di Sarawak.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk seisi keluarga, antaranya Fun Walk, Zumba dan sukaneka seperti membawa bola pingpong menggunakan sudu, boling kelapa, Musang Berjanggut, larian dalam guni, selipar gergasi serta mencari gula batu dalam tepung.
Turut dianjurkan ialah pertandingan mewarna, menghias kek hari jadi dan lukisan inai, selain demonstrasi memadam kebakaran, cabaran Mini 4WD dan Soopa Doopa.
Penyertaan bagi aktiviti yang dianjurkan adalah percuma.
Selain aktiviti riadah, pengunjung turut berpeluang mendapatkan pelbagai perkhidmatan menerusi kaunter yang disediakan, termasuk saringan kesihatan, pemeriksaan pergigian dan pemeriksaan kesihatan reproduktif wanita.
Turut disediakan ialah kaunter diskaun saman, perkhidmatan pendaftaran dan pembaharuan kad pengenalan serta khidmat nasihat dan cetakan perakuan kad nikah.
Sambutan itu juga menjadi platform kepada usahawan bimbingan JWKS untuk mempromosikan produk masing-masing menerusi reruai jualan, selain menawarkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan melalui Jualan Rahmah MADANI.
Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu kekeluargaan dan kesejahteraan hidup, beberapa ceramah turut diadakan sepanjang program berkenaan.
Antaranya ialah ceramah Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Fertiliti (BuAI) oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Kasih Keluarga Tanpa Dadah oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sarawak serta pengurusan kewangan bijak bertajuk Demi Esok Yang Lebih Baik oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Pengunjung turut berpeluang mengikuti ceramah ‘Waspada Scam: Kenali, Cegah dan Bertindak’ yang disampaikan Duta Antiscam Polis Diraja Malaysia, Rahmat Fitri Abdullah.
Sambutan Hari Keluarga 2026 akan disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Program berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran Fir Affandi dan Sharifah Elya Nabila sebagai hos.
Orang ramai dijemput hadir bersama ahli keluarga masing-masing bagi memeriahkan sambutan yang bukan sahaja menyediakan ruang untuk beriadah, malah menggalakkan pengukuhan hubungan kasih sayang dalam institusi keluarga.





