ILMU merupakan anugerah yang sangat berharga dalam kehidupan manusia. Melalui ilmu, seseorang dapat membezakan antara perkara yang haq dan yang batil, serta memahami tujuan sebenar kehidupan.
Islam amat menitikberatkan kepentingan menuntut ilmu kerana ilmu menjadi asas kepada pembentukan kehidupan yang sejahtera di dunia dan akhirat.
Namun begitu, dalam kesungguhan seseorang itu menuntut ilmu, terdapat satu perkara yang tidak boleh dipinggirkan, iaitu Adab.
Hal ini kerana, seseorang yang berilmu belum tentu mempunyai akhlak yang baik sekiranya ilmu tersebut tidak disertai dengan adab dan keperibadian yang mulia.
Islam menggariskan bahawa penguasaan ilmu serta penghayatan adab adalah dua komponen yang saling berkait rapat. Ilmu berperanan mencorakkan minda, manakala adab pula berfungsi membina jati diri dan perlakuan individu.
Ilmu tanpa adab merupakan satu perkara yang sia-sia. Hal ini dapat dilihat melalui hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Bukhari)
Hadis lain berkenaan adab dan akhlak adalah daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya tidak aku diutus melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” (Riwayat Ahmad)
Berdasarkan kedua-dua hadis tersebut, jelas bahawa Rasulullah SAW turut mementingkan adab dalam apa-apa jua keadaan, termasuklah menuntut ilmu.
Bahkan Rasulullah SAW juga merupakan contoh terbaik yang memiliki keagungan akhlak yang mulia. Hal tersebut telah ditegaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Surah Qalam ayat 4)
ADAB SEBAGAI ASAS KEBERKATAN ILMU
Adab ialah perkara teras dalam menuntut ilmu. Antara adab yang perlu diamalkan oleh setiap pelajar termasuklah menghormati guru, mendengar dengan teliti, menjaga kata-kata, tidak mencelah percakapan orang lain, dan mengamalkan ilmu yang dikuasai.
Guru bukan sekadar individu yang menyampaikan pengetahuan, malah mereka memainkan peranan besar dalam membentuk pemikiran, akhlak dan keperibadian seseorang.
Selain itu, adab juga mengajar seseorang supaya tidak mudah merendahkan orang lain hanya kerana perbezaan tahap pendidikan atau pengetahuan.
Ada kalanya seseorang yang mempunyai ilmu yang sedikit lebih baik akhlaknya berbanding individu yang mempunyai banyak pengetahuan.
Keadaan ini mengingatkan kita bahawa kemuliaan seseorang bukan terletak pada banyaknya ilmu yang mampu diperkatakan, tetapi pada sejauh mana ilmu tersebut membentuk dirinya menjadi insan yang bermanfaat.
Allah SWT turut mengingatkan manusia agar menjauhi sifat sombong sebagaimana firman-Nya di dlam surah Luqman ayat 18: “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.”
Ayat ini memberi peringatan bahawa sifat sombong dan merendahkan orang lain merupakan akhlak yang perlu dijauhi. Seseorang yang benar-benar memahami ilmu agama sepatutnya lebih berhati-hati dalam percakapan mahupun perbuatannya.
Dia tidak menggunakan ilmu untuk mencari penghormatan, mendapatkan pujian atau membuktikan bahawa dirinya lebih hebat daripada orang lain.
Oleh itu, setiap Muslim hendaklah sentiasa bermuhasabah dan memastikan ilmu yang dipelajari diamalkan dalam kehidupan, menghormati ibu bapa, memuliakan guru, menjaga hubungan sesama manusia, bercakap dengan sopan dan menerima teguran dengan hati terbuka merupakan antara bukti bahawa ilmu telah memberikan kesan positif terhadap diri seseorang.
Pemimpin yang genius

SAIDINA Umar bin Al Khattab sememangnya diakui oleh para sejarawan sama ada sejarawan Islam atau bukan Islam sebagai seorang pemimpin yang genius.
Banyak pembaharuan yang telah beliau bawa sepanjang pemerintahannya. Pemerintahan beliau juga diiktiraf sebagai yang paling gemilang berbanding tiga lagi Khulafa Ar Rasyidin yang lain.
Segala tindak tanduk yang dilakukannya dalam memerintah adalah tepat. Semua rakyatnya dari setiap pelusuk wilayah Islam menunjukkan ketaatan tidak berbelah bahagi kepadanya. Beliau dihormati dan digeruni oleh musuh-musuhnya.
Beberapa tindakan yang dilakukan oleh Saidina Umar bin Al Khattab di dalam pemerintahannya menjadikan kerajaan Islam sebagai sebuah kuasa yang hebat dan maju pada ketika itu.
Beliau membina empayar Islam yang menjadi contoh zaman berzaman dalam tempoh yang begitu singkat. Begitulah kehebatan yang ada pada diri Saidina Umar bin Al Khattab.
Ternyata beliau memiliki ciri-ciri kepimpinan yang luar biasa. Barangkali dengan sebab itu Saidina Abu Bakar pernah mencalonkannya untuk menjadi khalifah Islam yang pertama selepas kewafatan Rasulullah SWT.
Maka tidak hairanlah jika Rasulullah SWT pernah bersabda bahawa, “Sekiranya ada Nabi selepasku maka Umar Al Khattab lah orangnya”. (Riwayat Tirmidzi)
Saidina Umar bin Al Khattab merupakan orang pertama yang memisahkan kuasa pengadilan dengan pemerintahan ke atas wilayah-wilayah di bawah kekuasaannya.
Semasa zaman pemerintahannya, wilayah Islam sangat luas. Oleh itu, Saidina Umar bin Al Khattab telah mengutuskan hakim-hakim ke setiap wilayah-wilayah Islam.
Tujuan Saidina Umar bin Al Khattab memisahkan tugas dan kuasa pengadilan dari tugas gabenor kerana Saidina Umar bin Al Khattab tidak mahu menyibukkan gabenor-gabenor dengan tugas pengadilan.
Namun beberapa orang gabenor masih lagi diberi amanah untuk menjalankan kuasa-kuasa dan tugas-tugas pengadilan seperti Abu Musa Al Asy’ari, Mughirah bin Syu’bah dan Muawiyah bin Abu Sufyan.
Beberapa orang sahabat besar yang faqih telah dihantar ke seluruh pelusuk wilayah-wilayah Islam untuk menjadi hakim.
Antaranya ialah Abdullah bin Mas’ud yang dihantar menjadi hakim di Kufah. Saidina Umar bin Al Khattab juga melantik Sulaiman bin Ruba’iah untuk menjadi hakim di Qadisiyyah.
Selain mereka, Qais bin Al Ash pula dilantik menjadi hakim di Mesir. Ramai lagi hakim-hakim yang lain yang diutuskan oleh Saidina Umar bin Al Khattab ke wilayah-wilayah Islam.
Di Madinah pula, Saidina Umar bin Al Khattab telah melantik Saidina Ali bin Abi Thalib, Zaid bin Thabit dan As Sa’ib bin Abu Yazid menjadi hakim Madinah.
Hanzalah Azman





