BAU, 13 November: Polis Bau menahan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun yang disyaki menjadi keldai akaun dalam kes penipuan melalui panggilan telefon membabitkan kerugian RM70,000.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman berkata, suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau kira-kira 5.05 petang semalam di kawasan Jalan Temenggong Salau.
Menurutnya, tangkapan itu dibuat susulan siasatan terhadap kes yang dilaporkan di IPD Brickfields, Kuala Lumpur, dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai membenarkan akaun bank miliknya digunakan untuk menerima wang hasil penipuan oleh individu yang menyamar sebagai pegawai keselamatan siber.
“Semasa soal siasat awal, suspek mengaku bahawa akaun bank berkenaan didaftarkan atas namanya dengan bantuan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Ah Chong’.
“Suspek turut mengaku menerima bayaran sebanyak RM400 selepas akaun tersebut berjaya dibuka,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Haide mengingatkan orang ramai supaya tidak membenarkan akaun bank, kad mesin teler automatik (ATM) atau maklumat perbankan mereka digunakan atau diserahkan kepada pihak lain.
Beliau berkata, tindakan sedemikian boleh menyebabkan kemudahan perbankan disalahgunakan bagi menjalankan kegiatan penipuan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah komersial boleh menghubungi IPD Bau di talian 082-763311 atau tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.
Oleh Connie Chieng




