KUCHING, 12 November: Pegawai kanan polis perlu memperkukuh integriti, profesionalisme dan keupayaan kepimpinan bagi memastikan setiap tanggungjawab dilaksanakan dengan berkesan serta mampu menyelesaikan masalah, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Saifullizan Ishak.
Beliau berkata, pemimpin yang berkesan bukan sahaja perlu membimbing dan membangunkan potensi anggota bawahan, malah menunjukkan teladan melalui tindakan serta memastikan setiap tugasan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Menurutnya, pegawai kanan juga perlu mengambil inisiatif mengenal pasti masalah, mengemukakan cadangan penyelesaian dan bertindak lebih awal mengikut bidang kuasa masing-masing.
“Pemimpin juga perlu mendengar pandangan serta cadangan anggota bawahan dan memberikan panduan sewajarnya bagi menggalakkan mereka mengambil inisiatif serta bertanggungjawab terhadap hasil kerja masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemakaian pangkat Deputi Superintenden Polis (DSP) kepada 26 pegawai kanan polis Kontinjen Sarawak di Dewan Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.
Daripada jumlah itu, 14 pegawai disahkan dalam pangkat DSP, manakala 12 lagi dinaikkan pangkat daripada Asisten Superintenden Polis (ASP) kepada DSP.

Saifullizan berkata kenaikan pangkat itu merupakan pengiktirafan terhadap komitmen, dedikasi, prestasi cemerlang, integriti dan pengorbanan yang ditunjukkan pegawai sepanjang berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata pemakaian pangkat baharu itu turut mencerminkan keyakinan pasukan terhadap kemampuan mereka untuk memikul amanah dan tanggungjawab serta menghadapi cabaran kepimpinan yang lebih besar.
Dalam aspek perkhidmatan kepada masyarakat, beliau berkata persepsi orang ramai terhadap pasukan polis banyak dipengaruhi oleh pengalaman mereka ketika berurusan dengan pihak berkuasa, termasuk cara aduan diterima dan bantuan diberikan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pegawai kanan supaya sentiasa memastikan mutu perkhidmatan kepada masyarakat berada pada tahap terbaik.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pegawai yang menerima pemakaian pangkat dan berharap mereka terus mencapai kecemerlangan serta meningkatkan martabat PDRM, khususnya Kontinjen Sarawak.
Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan dan formasi Kontinjen Sarawak, ketua-ketua polis daerah berhampiran serta pegawai kanan IPK Sarawak.
Oleh Connie Chieng





