LONDON, 12 November: Manchester United memecat pengurusnya, Michael Carrick, hari ini selepas mencatat permulaan terburuk dalam sejarah kempen Liga Perdana Inggeris, dengan ketua jurulatih Amerika Syarikat (AS), Mauricio Pochettino, dijangka menggantikannya.
Bekas pemain tengah United itu berjaya membimbing pasukan menduduki tempat ketiga musim lalu. Bagaimanapun, kelab berkenaan hanya mengutip lapan mata daripada 10 perlawanan musim ini dan kini terperosok di zon penyingkiran.
“Manchester United mengesahkan bahawa Michael Carrick telah meninggalkan jawatannya sebagai ketua jurulatih pasukan utama lelaki,” menurut kenyataan kelab itu.
“Michael kembali menyertai kelab pada Januari dan membimbing pasukan menamatkan saingan Liga Perdana di tempat ketiga selepas memenangi 12 daripada baki 17 perlawanan musim 2025/26, selain mengumpul mata tertinggi dalam liga sepanjang tempoh itu.
“Susulan permulaan musim yang mengecewakan, kelab mengambil keputusan yang amat sukar bahawa perubahan perlu dilakukan bagi mencapai matlamat kami.”
Perlawanan terakhir Carrick sebagai pengurus ialah ketika United terikat 4-4 dengan Aston Villa pada Ahad. Selepas perlawanan itu, beliau menegaskan tidak akan meletakkan jawatan secara sukarela.
Bagaimanapun, pihak pengurusan tertinggi United memutuskan untuk mengambil tindakan bagi menyelamatkan musim ini selepas pasukan hanya mencatat tiga kemenangan daripada 15 perlawanan dalam semua pertandingan.
Masa depan Carrick dipercayai diputuskan pada Rabu menerusi mesyuarat di Monaco yang dihadiri pemilik bersama kelab, Jim Ratcliffe, Ketua Pegawai Eksekutif Omar Berrada dan Pengarah Bola Sepak Jason Wilcox.
Carrick sebelum ini menerima pujian kerana berjaya menstabilkan pasukan selepas era Ruben Amorim yang penuh pergolakan berakhir dengan pemecatan pengurus itu pada Januari.
Namun, prestasi pasukan merosot dengan ketara musim ini, selain dibelenggu kegagalan kelab mendapatkan pemain berkualiti dalam jendela perpindahan.
Carrick turut berdepan kesukaran mengawal disiplin pemain apabila menggugurkan kapten Bruno Fernandes selepas pemain itu mengkritik taktikal pengurus berkenaan susulan kekalahan besar 1-4 kepada Como, kelab yang membuat penampilan sulung dalam Liga Juara-Juara.
Pemain pertahanan, Lisandro Martinez, turut mengkritik pihak pengurusan kelab kerana gagal mendapatkan pemain bertaraf tinggi.
Pochettino mempunyai pengalaman luas dalam Liga Perdana Inggeris selepas pernah mengendalikan Southampton, Tottenham Hotspur dan Chelsea. Beliau juga pernah membimbing Paris Saint-Germain (PSG).
Jurulatih dari Argentina itu menandatangani lanjutan kontrak untuk terus membimbing pasukan AS sehingga Piala Dunia 2030 hanya tiga bulan lalu.
Bagaimanapun, Sky Sports melaporkan pada Rabu bahawa United telah “mencapai persetujuan secara prinsip” dengan Pochettino, yang beberapa kali sebelum ini dikaitkan dengan jawatan di Old Trafford, untuk menjadi ketua jurulatih baharu kelab itu.
Pochettino bakal berdepan tugas besar untuk memulihkan prestasi kelab yang masih belum bangkit sejak pemergian Alex Ferguson 13 tahun lalu. United juga belum memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris sejak persaraan pengurus legenda dari Scotland itu.
The Red Devils, yang suatu ketika dahulu mendominasi bola sepak England, kini ketinggalan berbanding Manchester City, Liverpool dan Arsenal.
Perlawanan seterusnya United ialah menentang seteru utama mereka, Liverpool, di Anfield pada 22 November. – AFP




