SRI AMAN: Projek Peace Park di Sri Aman yang terletak di sepanjang Jalan Astana akan dibangunkan sebagai taman reakreasi awam bersepadu di sekitar Rumah Sri Aman.
Lembaga Pembangunan Dan Lindungan Tanah (LCDA) dalam kenyataan berkata, projek itu berkeluasan 8.98 hektar dan dijangka akan siap pada Mei 2022.
Menurutnya, Majlis Pecah Tanah untuk Projek Peace Park dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan taklimat projek disampaikan oleh Pengurus Besar Monaliza Zaidel.
“Pembangunan Projek Peace Park ini sangat signifikan dan bertepatan dengan usaha kerajaan negeri untuk memelihara kekayaan khazanah hutan yang ada di negeri ini.
“Selain itu, reka bentuk taman ini akan menggabungkan infrastruktur sedia ada dengan alam semulajadi dan mengambil kira nilai sejarah serta penglibatan semua kaum dalam mempromosikan keamanan dan keharmornian masyarakat setempat,” katanya, menerusi satu kenyataan semalam.
Tambahnya, taman ini akan menjadi lokasi tumpuan orang ramai untuk tujuan bersantai, bersenam, rekreasi bersama keluarga dan menghilangkan tekanan.
“Selain itu, projek Peace Park ini turut bakal menjadi tempat tarikan pelancong terutamanya golongan pencinta alam dan menjadi lokasi pendidikan untuk pelajar,” tambahnya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO & VALENTINE NGUMBANG