KPM perluas sewaan peranti makmal komputer ke 1,801 sekolah

Facebook
WhatsApp
KPM memperluas kemudahan digital menerusi perkhidmatan sewaan peranti makmal komputer ke 1,801 sekolah yang belum dilengkapi kemudahan itu, selain mengagihkan 16,230 peranti pendidikan digital secara percuma kepada murid B40 dan sekolah luar bandar. Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 12 November: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang memperluas perkhidmatan sewaan peranti makmal komputer ke 1,801 sekolah yang masih belum dilengkapi kemudahan itu, bagi memastikan akses kepada kemudahan pembelajaran digital dapat dinikmati secara menyeluruh.

KPM memaklumkan peluasan sewaan itu, dijadualkan bermula pada suku ketiga tahun ini sebagai antara pendekatan utama kementerian dalam memperkukuh kemudahan digital di sekolah, selain melaksanakan agihan peranti secara bersasar kepada murid daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Menurut kenyataan kementerian itu, pembekalan peranti makmal komputer telah dilaksanakan dalam tiga fasa pada 2021 hingga 2023, melibatkan pengagihan sebanyak 244,158 unit peranti kepada sekolah di seluruh negara, tanpa mengira lokasi atau kawasan Parlimen.

Bagi menyokong keperluan pembelajaran murid B40 dan di kawasan luar bandar, KPM menerusi Yayasan Didik Negara turut mengagihkan sebanyak 16,230 unit peranti pendidikan digital secara percuma, merangkumi komputer riba, Chromebook dan tablet kepada 257 sekolah di seluruh negara, sepanjang tempoh 2022 hingga 2026.

“Pengagihan peranti percuma ini dilaksanakan secara berfokus dan telus berasaskan kriteria keperluan yang diperakukan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” menurut KPM dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

KPM menjawab soalan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) yang ingin tahu status pengagihan peranti digital percuma kepada murid B40 di sekolah luar bandar, serta pelan liputan Internet berprestasi tinggi di makmal sekolah kawasan pedalaman.

Bagi meningkatkan capaian Internet sekolah termasuk di kawasan pedalaman, KPM menyediakan kemudahan gentian optik berkelajuan 300 hingga 800 Mbps dan jalur lebar 30 Mbps, manakala sekolah yang menghadapi kekangan capaian rangkaian darat, dibekalkan perkhidmatan Internet satelit berprestasi tinggi dengan kelajuan sehingga 100 Mbps.

Menurut KPM, setakat Oktober 2026, sebanyak 8,955 buah sekolah (87.28 peratus) daripada 10,259 buah institusi pendidikan KPM di seluruh negara, menikmati capaian Internet melalui teknologi gentian optik.

Manakala baki institusi yang masih menggunakan teknologi jalur lebar tanpa wayar dan satelit sedang dinaik taraf secara berfasa, berdasarkan kebolehlaksanaan teknikal di lapangan. – Bernama