PUTRAJAYA, 12 November: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan syarikat-syarikat berkaitan untuk memasukkan afidavit seorang wanita warga Singapura bagi menyokong permohonan mereka membekukan aset Datin Seri Rosmah Mansor, dalam kes saman yang melibatkan barangan mewah bernilai lebih AS$346 juta (RM1.41 bilion).
Panel tiga hakim dianggotai Datuk Dr Alwi Abdul Wahab, Datuk Ismail Berahim dan Datuk Leonard David Shim, sebulat suara membenarkan rayuan 1MDB dengan kos RM30,000.
“Selepas meneliti rekod rayuan, alasan penghakiman Mahkamah Tinggi, memorandum rayuan dan hujahan daripada kedua-dua pihak, kami sebulat suara mendapati hakim Mahkamah Tinggi telah menggunakan prinsip yang salah, dalam menolak permohonan kebenaran perayu (1MDB). Oleh itu, rayuan dibenarkan dan keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan,” kata Shim ketika menyampaikan keputusan mahkamah hari ini.
Syarikat-syarikat itu, memohon untuk membekukan aset Rosmah berhubung dakwaan bahawa beliau telah memperoleh lebih 12,000 barangan mewah termasuk barang kemas, jam tangan dan beg tangan, menggunakan kira-kira AS$346 juta yang didakwa diseleweng daripada 1MDB.
Shim berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam mendapati bahawa keadaan luar biasa diperlukan, sebelum syarikat-syarikat itu dibenarkan untuk memasukkan afidavit tersebut.
Beliau berkata tiada peruntukan di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah yang mewajibkan pemohon membuktikan keadaan luar biasa apabila memohon lanjutan masa.
Shim berkata mahkamah juga mendapati, syarikat-syarikat itu telah memfailkan permohonan mereka pada 20 Jun tahun lepas, sebelum hujahan bertulis dalam prosiding injunksi itu diselesaikan pada 18 Julai. Kelewatan kira-kira dua bulan setengah dalam menyediakan afidavit itu, telah dijelaskan secara memuaskan.
Hakim itu berkata Shabnam yang pada mulanya dinamakan sebagai defendan kedua dalam saman itu, hanya bersetuju untuk memberikan keterangannya selepas syarikat-syarikat berkenaan menarik balik tuntutan terhadapnya, melalui perintah persetujuan pada 9 April, tahun lepas.
“Afidavitnya, yang mengandungi 319 halaman dalam sembilan jilid, mengandungi invois, surat-menyurat dengan penjual barangan mewah, gambar dan komunikasi yang melibatkan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low dan Eric Tan.
“Ekshibit-ekshibit ini, menunjukkan modus operandi skim kewangan global yang besar yang difasilitasi oleh sekutu seperti Jho Low dan Eric Tan, yang mengatur pembayaran melalui entiti luar pesisir menggunakan dana yang didakwa diseleweng daripada 1MDB.
“Membenarkan afidavit itu tidak akan menyebabkan prejudis yang ketara kepada Rosmah kerana beliau akan diberikan masa yang mencukupi untuk meneliti dan menjawab kandungannya,” katanya sambil menambah bahawa afidavit itu relevan dengan tuntutan syarikat-syarikat tersebut dan permohonan mereka untuk injunksi Mareva.
Pada 10 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak untuk memberikan kebenaran kepada 1MDB dan syarikat-syarikat berkaitan untuk bergantung pada afidavit oleh Shabnam, bagi menyokong permohonan mereka untuk injunksi Mareva, iaitu perintah untuk membekukan aset Rosmah.
Plaintif-plaintif telah memohon untuk memasukkan afidavit itu bagi mengukuhkan permohonan mereka untuk injunksi Mareva bagi membekukan aset Rosmah.
Saman tersebut, yang difailkan pada 9 Mei 2024, melibatkan 1MDB dan lima anak syarikatnya – 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited dan SRC International Sdn Bhd.
Lima syarikat lain yang terlibat ialah Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.
Mereka memohon perintah mahkamah yang menuntut agar Rosmah membayar AS$346,010,489 atau jumlah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. Mereka juga memohon perisytiharan bahawa plaintif pertama hingga keenam memegang hak pemilikan yang sah ke atas barangan mewah tersebut, yang didakwa berada dalam simpanan Rosmah.
Saman tersebut pada mulanya menamakan Rosmah dan Shabnam sebagai defendan pertama dan kedua. Bagaimanapun, pada April tahun lepas, 1MDB dan syarikat-syarikat lain menarik balik saman mereka terhadap Shabnam.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi menetapkan 7 Januari tahun depan untuk mendengar permohonan injunksi Mareva tersebut. – Bernama





